Pendakwaan kali kedua Trump bermula di Dewan Senat

Gambar fail menunjukkan para penyokong bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump merusuh di bangunan Capitol, Washington pada 6 Januari lalu. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan para penyokong bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump merusuh di bangunan Capitol, Washington pada 6 Januari lalu. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Pendakwaan kali kedua terhadap bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bermula pada Selasa dengan video para penyokongnya merusuh pada 6 Januari lalu di bangunan Capitol, Washington ditunjukkan kepada para Senator di dalam Dewan Senat.

Sebanyak 56 senator AS mengundi menyokong pendakwaan itu dilakukan manakala 44 lagi menentang sekali gus menolak percubaan peguam-peguam Trump untuk menggugurkannya dengan dakwaan Trump tidak boleh didakwa di dewan berkenaan.

Dalam undian tersebut, sebanyak enam anggota parti Republikan menyokong dakwaan berkenaan dilakukan sekali gus menyertai 50 anggota Dewan Senat daripada parti Demokrat yang mahu pendakwaan itu dilakukan.

Sebelum undian itu bermula, anggota-anggota parti Demokrat berhujah bahawa Trump melanggar sumpahnya sebagai percubaannya untuk mengekalkan kuasa walaupun telah kalah kepada Joe Biden dalam pilihan raya Presiden AS pada November tahun lalu.

Enggan mengaku kalah, Trump daripada parti Republikan menyebarkan dakwaan penipuan undi dalam pilihan raya tersebut dan berulang kali menekan beberapa pegawai termasuk bekas Naib Presiden, Mike Pence untuk cuba menghalang proses peralihan kuasa kepada Biden.

Pada 6 Januari lalu, Presiden AS ke-45 itu memberitahu para penyokongnya dekat Rumah Putih untuk berjuang seperti 'neraka' bagi menentang kemenangan Biden daripada parti Demokrat menyebabkan mereka melaungkan ayat "hentikan mencuri (pilihan raya Presiden AS)" dan menyerang bangunan Capitol yang turut dikenali sebagai Kongres AS.

Ketika itu, Pence dan wakil-wakil rakyat AS sedang dalam proses untuk mengiktiraf kemenangan Biden sebagai Presiden AS ke-46.

Senator-senator yang menyaksikan insiden rusuhan itu terpaksa menyelamatkan diri pada hari tersebut ketika para penyokong Trump menyerbu bangunan Capitol yang menempatkan Dewan Senat dan Dewan Perwakilan sehingga mengakibatkan lima orang terbunuh.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini Trump berjaya bebas dalam pendakwaan berkaitan penyalahgunaan kuasa di Dewan Senat pada tahun 2020.

Menurut AFP, sebanyak 17 Senator daripada parti Republikan perlu mengundi bagi menyertai 50 Senator yang mewakili parti Demorkrat di Dewan Senat bagi membolehkan Trump disabitkan kesalahan menghasut penyokongnya melakukan rusuhan di bangunan Capitol. - Agensi