X

Kindly register in order to view this article
!

Tambak laut di Langkawi projek ambil alih

Muhammad Sanusi Md Nor
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah menjelaskan projek tambakan laut berdekatan kawasan Padang Matsirat, Langkawi yang bakal dilaksanakan itu sudah mempunyai Laporan Impak Alam Sekitar (EIA) kerana merupakan projek yang diambil alih.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, syarikat terdahulu sudahpun memohon projek tersebut hampir 20 tahun lalu namun gagal dilaksanakan.

Menurutnya, syarikat tempatan baharu iaitu Widad Business Group (WBG) telah mengemukakan permohonan baharu bagi menyambung projek berkenaan.

"Kegagalan syarikat tempatan lalu untuk melaksanakan projek tersebut selain gagal membayar premium ditetapkan menyaksikan kerajaan negeri merampas tanah pertama kali pada tahun 2007 dan kali kedua pada tahun 2012.

"Bagi projek ini, hanya syarikat sahaja yang bertukar dan mohon balik tanah berkenaan. Mereka perlu bayar premium bagi mendapatkan geran tanah," katanya di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Beliau berkata, sekiranya syarikat baharu mahu merancang dan membangunkan kawasan lebih besar, mereka perlu mengemukakan dan membuat EIA baharu.

"Kami tiada halangan bagi meneruskan projek ini asalkan mereka mematuhi undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan," katanya.

Mengulas mengenai bantahan oleh Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan 24 organisasi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Muhammad Sanusi meminta mereka untuk melihat kawasan lain yang turut melakukan aktiviti penambakan laut.

"Jangan tumpu Kedah sahaja. SAM sepatutnya juga tengok Pulau Pinang kerana negeri itu lebih banyak menambak laut berbanding Kedah.

"Banyak kawasan seperti di Persiaran Gurney, di Jelutong, semua adalah tambakan laut. Ada lagi kawasan di Batu Maung akan ditambak, mengapa mereka tidak bising," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!