Joseph dilantik Ketua Penolong Pegawai Perubatan Malaysia

Tangkap layar hantaran di Facebook Noor Hisham Abdullah pada Rabu.
Tangkap layar hantaran di Facebook Noor Hisham Abdullah pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melantik anak kelahiran Sabah, Joseph Kajangan sebagai Ketua Penolong Pegawai Perubatan Malaysia baharu merangkap Setiausaha Lembaga Pembantu Perubatan berkuatkuasa pada 8 Februari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan pelantikan itu bagi menggantikan Dr Md Zaki Othman yang bersara wajib pada 7 Februari 2021.

Beliau berkata, Joseph mempunyai pengalaman bertugas sebagai Ketua Penolong Pegawai Perubatan Negeri Sabah merangkap Ahli Lembaga Pembantu Perubatan selama enam tahun.

“Memulakan perkhidmatan pada 2 Mei 1982 di hospital daerah Tenom dan beberapa klinik kesihatan di daerah Tenom, beliau kemudiannya diamanahkan untuk memikul tanggungjawab sebagai Ketua Penyelia Penolong Pegawai Perubatan (Kesihatan Primer) di Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu.

“Seterusnya, beliau dilantik sebagai Ketua Penyelia Penolong Pegawai Perubatan Hospital Queen Elizabeth II. Beliau mula bertugas di Cawangan Perkhidmatan Penolong Pegawai Perubatan (CPPPP), KKM sejak 25 Jun 2018,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Rabu.

Noor Hisham berkata, pengalaman yang dimiliki Joseph di dalam program perubatan dan kesihatan awam diharap dapat membawa profesion Penolong Pegawai Perubatan dan profesion lain yang bernaung di bawah CPPPP ke arah kecemerlangan khususnya dalam membantu negara menghadapi pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan: