Tiada pergaduhan di Kedah seperti tular

Antara mesej yang tular di media sosial. Gambar kanan: Abd Rahim
A
A

ALOR SETAR - Polis Kedah mengesahkan tiada sebarang insiden pergaduhan antara orang Melayu dan India di Gurun dan Kuala Ketil seperti tular di media sosial sejak kebelakangan ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Abd Rahim Jaafar berkata, pihaknya turut mengesan penularan mesej daripada pihak tidak bertanggungjawab yang menggesa orang ramai menyimpan senjata sebagai persiapan untuk melakukan rusuhan antara kaum.

Menurutnya, penyebaran gambar serta mesej berkaitan ketegangan kaum itu adalah tidak benar sama sekali.

“Kebelakangan ini tular gambar dan maklumat konon berlaku pergaduhan antara kaum Melayu dan India di Gurun dan Kuala Ketil.

"Saya tegaskan, tiada kejadian seumpama berlaku di negeri ini,” katanya, dalam kenyataan media, hari ini.

Abd Rahim berkata, keadaan di Gurun dan daerah Kuala Muda adalah selamat, aman dan sejahtera.

“Penyebaran berita palsu adalah perbuatan tidak bertanggungjawab dan boleh menimbulkan kegusaran dan ketakutan kepada masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya menghentikan perbuatan menyebarkan berita atau maklumat palsu di media sosial kerana boleh mencetuskan sentimen perkauman selain dibimbangi menggugat keselamatan serta keamanan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang cuba menggugat ketenteraman awam di negeri ini,” katanya.

Abd Rahim berkata, mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu boleh diambil tindakan bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia