X

Kindly register in order to view this article
!

Keputusan kes rasuah Rosmah 18 Februari

Rosmah hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan kes rasuah di Mahkamah Tinggi di sini berhubung projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak membabitkan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor akan diketahui pada 18 Februari ini.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan lisan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan di akhir kes pendakwaan.

Ketika hujahan lisan, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, tidak dipertikaikan bahawa wang itu disediakan oleh saksi ke-17, Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin kemudian dihantar ke kediaman tertuduh.

“Proses penyerahan beg antara Saidi dan tertuduh mengesahkan bahawa tertuduh mengetahui sepenuhnya kandungan beg tersebut.

“Malah terdapat bukti menyatakan, Rosmah mengarahkan saksi ke-21, Datuk Rizal Mansor meminta suapan berkenaan,” katanya.

Berkaitan isu dua pembantu (butler) yang tidak dipanggil memberi keterangan, Sri Ram berkata, kedua-dua individu itu bukan saksi material.

Ini kerana katanya, sudah memadai dengan keterangan, Rizal iaitu bekas Pegawai Khas Rosmah.

Sementara itu, peguam Datuk Jagjit Singh dan Datuk Akberdin Abdul Kadir yang mewakili Rosmah menegaskan, anak guam mereka tidak meminta atau menerima rasuah seperti mana yang dipertuduhkan.

Jagjit Singh berkata, saksi-saksi pendakwaan juga gagal menunjukkan bahawa Rosmah secara peribadi telah menerima kedua-dua beg yang berisi wang itu.

Beliau berkata, tiada bukti menunjukkan bahawa Rosmah meminta peratusan daripada nilai kontrak daripada Saidi atau saksi ke-16 pendakwaan, Rayyan Radzwill Abdullah yang juga Pengarah Nanocarb Technology Sdn Bhd.

“Tawaran untuk memberi sumbangan politik itu adalah idea Saidi dan Rayyan Radzwill untuk Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Ia adalah sebagai tanda terima kasih kerana menyokong Jepak dan memastikan kemenangan bagi Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu,” katanya.

Rosmah, 69, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor bagi projek membekalkan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tiga tempat berasingan iaitu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta; di kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 hingga 7 September 2017.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!