Tapak pembinaan curi air, Air Selangor rugi RM200,000

Mohd Fazil menunjukkan sambungan bekalan air secara haram daripada paip utama Air Selangor ke tapak pembinaan itu dalam operasi penguatkuasaan pada Rabu.
Mohd Fazil menunjukkan sambungan bekalan air secara haram daripada paip utama Air Selangor ke tapak pembinaan itu dalam operasi penguatkuasaan pada Rabu.
A
A
A

KEPONG - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) kerugian hampir RM200,000 apabila sebuah tapak pembinaan di Desa Parkcity, di sini dikesan membuat sambungan bekalan air secara haram lebih setahun lalu.

Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Mohd Fazil Ismail berkata, aktiviti tersebut dikesan hasil pemantauan dan siasatan Air Selangor terhadap kawasan tapak pembinaan selain aduan tekanan air rendah sekitar kawasan itu.

Menurutnya, operasi penguatkuasaan yang dijalankan pada Rabu (hari ini) menemukan satu sambungan paip berukuran 32 milimeter yang dibuat secara terus daripada paip utama Air Selangor ke tapak pembinaan itu.

Mohd Fazil Ismail
Mohd Fazil Ismail

"Semakan Air Selangor juga mendapati tapak projek pembinaan berkenaan tidak mempunyai sebarang meter bekalan air yang sah berdaftar dengannya.

"Ujian klorin di tapak juga mengesahkan bahawa bekalan yang diterima merupakan air terawat," katanya selepas mengadakan operasi penguatkuasaan di tapak pembinaan berkenaan pada Rabu.

Beliau berkata, penyambungan secara haram itu dipercayai digunakan untuk kegunaan tapak pembinaan selain kegunaan harian buat pekerja di rumah kongsi tapak berkenaan yang dianggarkan seramai 40 orang.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 123 (1) Akta Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang mana siasatan lanjut akan dijalankan oleh pihak SPAN.

Artikel Berkaitan:

"Di bawah peruntukan ini, tiada seorang pun selain pemegang lesen boleh membuat apa-apa sambungan ke suatu sesalur utama awam atau paip air perkhidmatan.

"Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Katanya lagi, kes berkenaan adalah yang kedua diambil tindakan sejak Januari lalu selepas kecurian air membabitkan kawasan pertanian di Hulu Langat bulan lepas.

Ujian klorin di tapak pembinaan itu mengesahkan bekalan air yang diterima merupakan air terawat.
Ujian klorin di tapak pembinaan itu mengesahkan bekalan air yang diterima merupakan air terawat.

Difahamkan, sejumlah 672 aduan melibatkan kes kecurian air diterima sejak Januari lalu dan 36 daripadanya disahkan sahih dan diambil tindakan.

Sebanyak RM463,000 anggaran kerugian dicatatkan disebabkan kecurian air antara Januari hingga 10 Februari 2021.