X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Kedah umum bantuan RM7.4 juta

Muhammad Sanusi Md Nor
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah mengumumkan pakej bantuan bernilai lebih RM7.4 juta yang diluluskan dalam Mesyuarat Exco untuk membantu rakyat di negeri ini yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, antara golongan yang terjejas dan diberikan perhatian adalah pengusaha pelancongan dan penghantar makanan (food rider) yang boleh memohon pinjaman mudah tanpa faedah sehingga maksimum RM5,000.

Menurutnya, kira-kira 400 pemohon akan memperoleh manfaat tersebut.

"Golongan yang layak boleh memohon jumlah maksimum pinjaman RM5,000 atau kurang daripada itu bagi setiap seorang.

"Pinjaman ini diuruskan oleh Unit Pembangunan Usahawan Kedah (UPUK) dan bayaran tunai akan terus dikreditkan ke akaun pemohon bersandarkan kelulusan Jawatankuasa Akaun Amanah UPUK," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman dekat sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri Kedah juga akan mengagihkan 3,600 tablet kepada pelajar terpilih bagi memudahkan mereka mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Tablet ini akan diagihkan kepada 100 pelajar dalam setiap 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah melibatkan kos keseluruhan yang mencecah hampir RM2 juta," katanya.

Katanya, peniaga juga tidak dilupakan apabila bantuan peralatan berniaga melibatkan khemah boleh lipat, meja dan dapur bernilai RM350 dengan kos keseluruhan RM1.26 juta diagihkan kepada 3,600 individu terpilih.

"Peruntukan sebanyak RM1.2 juta akan diagihkan kepada 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini untuk mereka membina kawasan perniagaan baharu dan lengkap dengan pelbagai kemudahan yang dapat memanfaatkan penjaja kecil," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!