Penduduk Malaysia kini 32.73 juta

Penduduk Malaysia dianggarkan seramai 32.73 juta orang pada suku keempat 2020, meningkat 0.4 peratus daripada 32.59 juta orang pada tempoh sama 2019.
Penduduk Malaysia dianggarkan seramai 32.73 juta orang pada suku keempat 2020, meningkat 0.4 peratus daripada 32.59 juta orang pada tempoh sama 2019.
A
A
A

PUTRAJAYA - Penduduk Malaysia dianggarkan seramai 32.73 juta orang pada suku keempat 2020, meningkat 0.4 peratus daripada 32.59 juta orang pada tempoh sama 2019, demikian menurut laporan Perangkaan Demografi.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin mengulas mengenai laporan perangkaan tersebut berkata, jumlah penduduk itu merangkumi seramai 29.85 juta orang (91.2 peratus) warganegara dan 2.87 juta orang (8.8 peratus) bukan warganegara.

Dalam kenyataan di sini pada Rabu, beliau berkata, penduduk lelaki melebihi penduduk perempuan iaitu masing-masing 16.83 juta orang dan 15.90 juta orang.

Mohd Uzir
Mohd Uzir

Menurutnya, penduduk berumur 0 hingga 14 tahun (umur muda) pada suku tahun keempat 2020 menurun daripada 7.63 juta pada suku tahun keempat 2019 kepada 7.57 juta.

"Seramai 468,975 kelahiran hidup direkodkan pada tahun 2020 dan daripada jumlah itu, seramai 121,251 kelahiran direkodkan pada suku tahun keempat 2020, iaitu menurun sebanyak 2.5 peratus berbanding suku tahun keempat 2019 dengan 124,384 kelahiran.

"Penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) meningkat daripada 2.24 juta kepada 2.34 juta bagi tempoh yang sama.

“Trend ini adalah selari dengan negara-negara maju yang menuju ke arah penuaan penduduk” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Uzir berkata, keseluruhan sebanyak 174,313 kematian direkodkan pada tahun 2020 dengan 44,390 kematian direkodkan bagi suku tahun keempat 2020, menurun sebanyak 0.4 peratus berbanding suku tahun keempat 2019 iaitu 44,566 kematian. - Bernama