Mayat lelaki tanpa identiti ditemui tersangkut pada jeti

Mohamad Noor Yusof Ali
Mohamad Noor Yusof Ali
A
A
A

KUANTAN - Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemui tersangkut pada jeti Kampung Belukar, Batu 31/2 Jalan Kuantan Gambang di sini pada pagi Rabu.

Mayat yang sudah membengkak itu ditemui dua lelaki yang kebetulan datang ke jeti untuk keluar memancing kira-kira jam 8 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, sepasukan anggota dari Jabatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat.

Menurutnya, ketika ditemui mangsa hanya berseluar pendek berwarna putih.

"Siasatan awal mendapati kematian mangsa tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.

"Pihak polis belum mengenalpasti identiti mangsa memandangkan tiada sebarang pengenalan diri ditemui pada mayat," katanya.

Mohamad Noor berkata, temubual bersama lelaki yang menemui mayat dan penduduk kampung, mereka tidak mengenali atau mengecam mangsa.

"Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

"Cap jari mangsa diambil bagi membantu mengesan identitinya," katanya.