Covid-19: 3,288 kes baharu, babit 1,889 warga tempatan

Dr Noor Hisham - Foto Bernama
Dr Noor Hisham - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Negara merekodkan jumlah kumulatif keseluruhan kes sebanyak 251,604 kes, dengan pertambahan 3,288 kes baharu dalam tempoh 24 jam lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Twitter rasmi beliau pada Rabu berkata, 3,283 kes adalah penularan tempatan, melibatkan 1,889 warga tempatan dan 1,394 bukan warga negara, manakala lima kes lagi merupakan kes import, melibatkan tiga warga tempatan dan dua warga asing.

"Kes aktif dengan kebolehjangkitan kini berjumlah 52,186 kes manakala dalam tempoh sama 14 kes kematian melibatkan warga tempatan dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes kematian Covid-19 di negara ini direkodkan sebanyak 923 kes," katanya.

Beliau berkata, terdapat 1,929 kes sembuh pada Rabu menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh daripada Covid-19 di Malaysia adalah 198,495 kes.

Dr Noor Hisham berkata, 285 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 131 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Mengenai kes kematian baharu, Dr Noor Hisham dalam kenyataan berkata, Selangor mencatatkan lima kes, Sabah (empat), Johor (dua) dan masing-masing satu kes di Kedah, Kuala Lumpur dan Putrajaya, melibatkan mereka yang berumur antara 36 dan 94 tahun.

Sementara itu, beliau berkata, 63 kes dilaporkan berkait dengan kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara, membabitkan Kluster Tembok Sungai Udang dengan 46 kes, Tembok Pengkalan Chepa (7), Tembok Renggam (5), Tembok Bukit Besi (2) dan masing-masing satu kes bagi Tembok Taiping, Matambai dan Penjara Kepayan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, 11 kluster baharu dikenal pasti dengan melibatkan tujuh kluster berkaitan tempat kerja dan masing-masing dua kluster melibatkan komuniti dan kumpulan berisiko tinggi.

Artikel Berkaitan:

Kluster tempat kerja di Selangor melibatkan Industri Wawasan, Batu 20 dan Tapak Bina Persiaran Sepang; Tapak Bina Jalan Tandok dan Jalan Dua Belas (Kuala Lumpur); Jalan Tiga KKIP (Sabah); serta Jalan Uda Utama di Johor.

Selain itu terdapat dua kluster komuniti di Johor iaitu Jalan Kancil Waha dan Lorong Sahabat manakala dua lagi kluster kumpulan berisiko tinggi iaitu Lorong Bersatu Damai (Sabah) serta Jalan Harun di Kuala Lumpur.

“Jumlah kluster aktif kini 466 kluster dengan 82 daripadanya mencatatkan pertambahan kes baharu pada hari ini. Kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pula Kluster Tanjung Suria (356 kes), Kluster Persiaran Perkilangan (319 kes), dan Kluster Jalan Cochrane (104 kes),” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, 465 kluster telah tamat termasuk empat yang diisytiharkan tamat hari ini iaitu Kluster Jalan Genting, Kluster Harum, Kluster Medan Idaman dan Kluster Wakaf Lanas. - Bernama