Ribuan ikan mati di Sungai Perai

Penemuan ikan mati di Sungai Perai sejak petang Selasa.
Penemuan ikan mati di Sungai Perai sejak petang Selasa.
A
A
A

BUTTERWORTH - Ribuan ikan dilaporkan mati di Sungai Perai, di sini dipercayai berpunca daripada pelepasan air tidak terawat daripada sebuah kilang berhampiran.

Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), David Marshel berkata, pihaknya menerima laporan daripada penduduk di Taman Kimsar, di sini petang Selasa selepas melihat ribuan ikan timbul.

Menurutnya, sebaik menerima laporan itu beliau bersama Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy serta beberapa ahli majlis lain ke lokasi terbabit bagi melihat sendiri apa yang berlaku.

"Saya hubungi Jabatan Krisis MBSP supaya mengambil sampel air dan bangkai ikan untuk dihantar kepada Jabatan Alam Sekitar.

"Perkara ini turut dipanjangkan kepada Exco Alam Sekitar, Phee Boon Poh untuk tindakan selanjutnya kerana ia mengancam hidupan sungai dan berbahaya kepada orang ramai," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.

David (dua dari kanan) dan Ramasamy (kiri) ketika meninjau keadaan di Sungai Perai pada Selasa.
David (dua dari kanan) dan Ramasamy (kiri) ketika meninjau keadaan di Sungai Perai pada Selasa.

David berkata, setakat ini pihaknya menerima maklumat awal berkenaan insiden pelepasan air tanpa dirawat ke dalam Sungai Perai oleh sebuah kilang di tepi sungai terbabit.

Katanya, satu laporan polis telah dibuat terhadap kilang tersebut untuk siasatan lanjut dan tindakan sewajarnya.

Artikel Berkaitan:

"Kejadian sebegini perlu dihentikan demi alam sekitar dan orang ramai. Saya harap pihak Jabatan Alam Sekitar mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab dengan perbuatan ini," katanya.

Dalam pada itu, David berharap supaya pemancing atau nelayan tidak menangkap ikan di sungai terbabit kerana dikhuatiri akan menyebabkan masalah lain sekiranya makan ikan yang telah tercemar.