X

Kindly register in order to view this article
!

Penghuni rumah orang tua rindu keluarga menjelang Tahun Baharu Cina

Tangakaliswaran merakam kenangan selepas menyampaikan sumbangan sempena Tahun Baharu Cina di Rumah Orang-orang Tua Sukarela Pandan, Johor Bahru pada Rabu.
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang warga emas, Tan Bak Khim, 82, yang juga penghuni di Rumah Orang-orang Tua Sukarela Pandan di sini hanya mampu termenung mengenangkan nasibnya menjelang sambutan Tahun Baharu Cina kali ini.

Ini kerana dia yang masih bujang tidak akan menerima kunjungan adik-beradik atau anak saudaranya dari Singapura berikutan sempadan antara Malaysia-Singapura masih belum dibuka sepenuhnya.

"Tahun Baharu Cina kali ini agak berlainan kerana tiada ahli keluarga yang akan datang melawat. Semua adik-beradik saya sudah berkahwin dan mereka tinggal di Singapura.

"Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia dan Pemutus Litar dilaksanakan di Singapura, kebanyakan keluarga di Singapura tidak dapat datang melawat saya seperti tahun sebelum ini. Namun mereka ada menghubungi saya bertanyakan khabar dan mengucapkan selamat Tahun Baharu Cina," katanya.

Tan Bak Khim
Tan Bak Khim

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima sumbangan Tahun Baru Cina daripada Pertubuhan Integrasi Nasional Johor dan Melaka di rumah orang tua tersebut pada Rabu.

Bak Khim yang berasal dari Minyak Beku, Batu Pahat dan sudah 13 tahun tinggal di situ berkata, kehadiran mereka amat bermakna kerana dia yang mempunyai 11 adik-beradik sudah terputus hubungan dengan saudara mara lain.

Dia yang pernah melakukan pelbagai kerja semasa mudanya berkata, walaupun rindu dan akur tidak dapat bertemu mereka, namun persiapan bagi menyambut Tahun Baharu Cina tetap dilakukan.

Tangakaliswaran (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan sempena Tahun Baharu Cina kepada Penyelia Rumah Orang-orang Tua Sukarela Pandan, Chuang Swee di rumah orang tua itu, di Johor Bahru pada Rabu.
Tangakaliswaran (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan sempena Tahun Baharu Cina kepada Penyelia Rumah Orang-orang Tua Sukarela Pandan, Chuang Swee di rumah orang tua itu, di Johor Bahru pada Rabu.

"Sempena Tahun Baharu Cina tahun ini, penghuni di sini menerima sumbangan pakaian daripada orang ramai. Walaupun kami di sini tidak mempunyai pertalian darah tetapi kami hidup seperti satu keluarga besar, berkongsi suka duka," katanya.

Bagi Lee Kah Chum, 73, yang sudah 10 tahun tinggal di rumah orang tua itu, mengakui dia sudah biasa menyambut Tahun Baharu Cina di situ tetap merindui kakak dan abangnya.

"Kakak saya tinggal di Australia selepas berkahwin dengan orang sana, kali terakhir dia dan keluarga datang ziarah saya pada 2019. Abang saya pula seorang ahli perniagaan yang sibuk di Kuala Lumpur," katanya yang masih bujang dan berasal dari Petaling Jaya, Selangor.

Lee Kah Chum
Lee Kah Chum

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Integrasi Nasional Johor dan Melaka, Datuk Seri S K Tangakaliswaran berkata, pihaknya menghulurkan sumbangan bahan keperluan asas seperti beras, gula, minyak masak dan sebagainya kepada rumah orang tua berkenaan selain duit raya kepada penghuninya.

Jelasnya, terdapat 30 penghuni termasuk kakitangan di rumah orang tua tersebut dan diharap sumbangan tersebut dapat meringankan beban serta menceriakan mereka sempena Tahun Baharu Cina.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!