Jenazah dari luar negara diawet jika dibawa pulang ke negara asal

Perkongsian Rafie di Facebook Skuad Pengurusan Jenazah berkenaan jenazah dari luar negara jika mahu dibawa pulang ke negara asal pada Rabu.
Perkongsian Rafie di Facebook Skuad Pengurusan Jenazah berkenaan jenazah dari luar negara jika mahu dibawa pulang ke negara asal pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Jenazah dari luar negara jika hendak dibawa pulang ke negara asal akan melalui proses pengawetan.

Pengerusi Pertubuhan Skuad Pengurusan Jenazah (SPJ) Malaysia, Rafie Zainal berkata, proses pengawetan jenazah amat menakutkan dan dilakukan dengan mengeluarkan darah dari dalam badan dan memasukkan sejumlah 12 liter cecair 'formalin'.

"Prosesnya tidak habis di situ sahaja. Perut jenazah akan ditebuk kemudian satu besi panjang lebih kurang 1 meter yang dinamakan sebagai 'trocar' akan dihunus menusuk ke perut untuk menghancurkan organ-organ dalaman badan jenazah seperti hati, perut, jantung, limpa, usus dan lain-lain bagi tujuan membuang darah dalam organ dan semuanya akan disedut keluar.

"Kaedah ini bagi mengelakkan mayat cepat mereput dan membusuk. Meskipun luaran jasadnya nampak elok sempurna tetapi dalamannya hancur sehancur-hancurnya!

"Maka, jika kasihankan jenazah, biarlah jasadnya dikebumikan di tempat dia meninggal dunia. Hal ini pun bertepatan dengan sunnah," tulisnya menerusi perkongsian di Facebook Skuad Pengurusan Jenazah pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau menasihatkan agar jenazah tidak diseksa setelah si mati melalui peritnya sakaratulmaut.

"Seandainya si mati boleh berkata-kata, sudah tentu dia tidak mahu jasadnya dibawa pulang kembali," katanya.

Pada Selasa, media melaporkan seorang wanita warganegara Malaysia dikenali sebagai Rabitah Hamed, 49, maut dalam satu kemalangan di Griffith, Australia.

Artikel Berkaitan:

Keluarganya berharap dapat membawa pulang jenazah untuk dikebumikan di kampung halamannya di Pekan Ayer Hitam, Alor Setar.