Tanggungjawab beri nafkah tak luput walaupun isteri bekerja

Abdul Halim
Abdul Halim
A
A
A

SHAH ALAM – Suami wajib dan bertanggungjawab memberi nafkah selain menjaga kebajikan isteri serta anak mengikut kemampuan masing-masing.

Menurut Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Latihan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Abdul Halim Abdullah, walaupun isteri yang bekerja dan pendapatan lebih besar daripada suami, nafkah kepada isteri tetap wajib diberi.

“Firman ALLAH SWT dalam Surah al-Baqarah (233): Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.”

“Ayat ini menceritakan bahawa tanggungjawab bapa kepada anak-anak bukan sahaja memberikan pendidikan, bahkan terhadap tumbesaran mereka.

“Bila lelaki sudah berkahwin, mereka wajib membiayai nafkah kepada orang yang mereka kahwini. Mereka juga bertanggungjawab menggalakkan pola kehidupan anak-anak dan isterinya,” katanya pada program Wacana Al-Quran siri ke-82 yang bertajuk ‘Culas nafkah bawa padah’ yang disiarkan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf pada Selasa.

Program itu turut menampilkan Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali sebagai panelis, manakala Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail sebagai moderator dan qari jemputan, Ahmad Tarmizi Abdul Rahman yang memperdengarkan surah Al-Baqarah ayat 233.

Beliau berkata, bagaimanapun nafkah tidaklah bersifat mutlak kerana setiap orang tidak sama kemampuannya.

“Kalau suami taraf hidup T20 maka nafkah perlulah T20, begitu juga kalau B40, maka nafkahnya juga sederhana. Kalau pasangan itu miskin, biarlah mengikut tahapnya.

Artikel Berkaitan:

“Apa yang penting, suami memberikan komitmen dan melaksanakan tanggungjawab itu sebaik mungkin dengan memberi keselesaan kepada isteri, bukan kemewahan atau pembaziran yang melampau,” katanya.

Tambah Abdul Halim, dalam masyarakat hari ini, meskipun didapati suami isteri sama-sama bekerja, tanggungjawab memberi nafkah masih tetap terpikul di bahu suami.

“Hari ini kebanyakan isteri bekerjaya, ada suami kerja konduktor, isteri pula kontraktor, berlaku ketidakselarasan pendapatan dalam keluarga.

“Walaupun dalam situasi isteri bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri, tanggungjawab berikan nafkah tetap pada suami. Bagaimanapun, isteri boleh membantu di mana yang sesuai.

“Dalam alam rumah tangga perlu ada tolak ansur, faham memahami antara satu sama lain. Jika isteri gagal urus rumah tangga, suami kena faham. Sama-sama bina keharmonian dalam rumah tangga,” katanya.