X

Kindly register in order to view this article
!

Sikap isteri punca suami culas nafkah

Suzana Ghazali
A
A

SHAH ALAM – Sikap isteri yang terlalu sayang dan manjakan suami menjadi punca pasangan culas membayar nafkah, kata Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali.

Malah menurut beliau, ada segelintir isteri sanggup mengambil alih tugas dan tanggungjawab mencari nafkah asalkan suami setia dengannya.

“Ada wanita sebelum berkahwin sudah biasa manjakan pasangan sehingga sanggup membiayai pinjaman perkahwinan kepada bakal suami.

“Ramai juga isteri yang ‘segan’ nak minta nafkah dengan pasangan sendiri, malah lebih kronik sanggup bertahan dengan suami yang tak bekerja asalkan setia dengan mereka.

“Pernah saya terima satu kes isteri terpaksa sara suami dan keluarga selama 35 tahun. Malah harta yang ada dinamakan di atas suami kononnya kerana terlalu ‘ikhlas’ sayangkan pasangannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Al-Quran siri ke-82 yang bertajuk ‘Culas nafkah bawa padah’ yang disiarkan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf pada Selasa.

Dari kiri: Fazrul; Suzana; Abdul Halim dan Ahmad Tarmizi semasa program Wacana Al-Quran siri ke-82 yang bertajuk ‘Culas nafkah bawa padah’ yang disiarkan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf pada Selasa.
Dari kiri: Fazrul; Suzana; Abdul Halim dan Ahmad Tarmizi semasa program Wacana Al-Quran siri ke-82 yang bertajuk ‘Culas nafkah bawa padah’ yang disiarkan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf pada Selasa.

Program itu turut menampilkan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Latihan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Abdul Halim Abdullah sebagai panelis, manakala Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail sebagai moderator dan qari jemputan, Ahmad Tarmizi Abdul Rahman yang memperdengarkan surah Al-Baqarah ayat 233.

Mengulas lanjut, Suzana berkata, hal ini menyebabkan suami mengambil kesempatan ke atas pasangan masing-masing.

“Bila suami sudah terbiasa dan selesa dilayan seperti raja, maka mereka merasakan mereka hebat. Tanggungjawab dan amanah diabaikan.

“Malah ada yang persoalkan kenapa perlu bekerja dan sediakan nafkah kepada isteri sedangkan isteri mereka bekerjaya serta mampu menanggung keluarga.

“Inilah antara punca mengapa suami culas dan gagal melaksanakan syariat agama,” katanya.

Tambah beliau lagi, suami yang bertanggungjawab akan membayar nafkah mengikut kemampuan masing-masing.

“Nabi Muhammad SAW berpesan, “Beri isteri kamu makan apa yang kamu makan, pakaian apa yang kamu pakai. Jadi dalam hal ini, suami perlu beri nafkah ikut kemampuan.

“Sekiranya suami diberi ujian diberhentikan kerja contohnya, isteri boleh tolong dan suami boleh catat apa yang isteri bayar ketika dia tidak bekerja dan perlu dibayar.

“Jika suami enggan bayar nafkah, si isteri perlu beri peluang kepada pasangan tetapi hanya dalam tempoh sembilan bulan sahaja. Isteri perlu tegas dalam soal nafkah, kena berani bersuara.

“Jika sepanjang tempoh itu, suami masih lagi culas, si isteri kena beri ‘ugutan’, sedarkan mereka tentang tanggungjawab itu. Jika cara ini masih tidak dapat selesaikan masalah, perlu dapatkan nasihat pihak ketiga dan jalan terakhir boleh failkannya di Mahkamah Syariah,” katanya.

Suzana berkata, hukum syarak dan undang-undang telah menjamin kemaslahatan wanita untuk menuntut hak mendapatkan nafkah termasuk yang tertunggak ketika mereka bergelar isteri kepada seorang lelaki.

“Wanita tidak perlu bimbang kerana ada peruntukan undang-undang untuk mengheret suami culas ini ke mahkamah.

“Dalam hal ini, wanita perlu mulakan langkah, lengkapkan segala dokumen yang diperlukan agar hak mereka dapat dituntut sebaik mungkin,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!