Jenazah perajurit negara selamat dikebumi di pusara RAMD

Zamrose bercakap pada sidang media sempena Acara Pengebumian Veteran Perang Dunia Kedua, Allahyarham 1647 Prebet Ujang pada Rabu.
Zamrose bercakap pada sidang media sempena Acara Pengebumian Veteran Perang Dunia Kedua, Allahyarham 1647 Prebet Ujang pada Rabu.
A
A
A

PORT DICKSON - Jenazah perajurit Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tertua, Prebet Ujang Mormin, 100, yang juga veteran Perang Dunia Kedua di Malaysia selamat dikebumikan pada jam 2 petang di pusara Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), di sini pada Rabu.

Kenderaan yang membawa jenazah Allahyarham sampai di tanah perkuburan pada jam 1 tengahari, diiringi anggota Pertama RAMD, sebelum disambut dengan penuh penghormatan oleh Batalion Ke-15 RAMD.

Pengurusan mandi, mengkafankan dan solat jenazah diatur oleh pihak Kementerian Kesihatan di Hospital Sungai Buloh pada jam 9 pagi.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain pada sidang media berkata, negara terasa kehilangan besar seorang pejuang tanah air yang tiada gantinya.

"Penghormatan ketenteraan telah kita lakukan dengan sewajarnya selari dengan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang ini.

"Acara pengebumian dilaksanakan di pusara RAMD, yang merupakan tempat khusus buat pewira tentera perang dari RAMD yang berjuang sejak tertubuhnya RAMD dan Tentera Darat Malaysia," katanya pada sidang akhbar sempena Acara Pengebumian Veteran Perang Dunia Kedua, Allahyarham 1647 Prebet Ujang, pada Rabu.

Allahyarham meninggal dunia disebabkan jangkitan Covid-19 di Hospital Sungai Buloh pada jam 5.05 petang pada Selasa.

Prebet Ujang yang berasal dari Kampung Kundur, Rembau pernah berjuang bersama Allahyarham Leftenan Adnan Saidi menentang tentera Jepun di Singapura dan perjuangan beliau diperakui kerajaan British yang mengurniakan pingat War Medal dan Pacific Star bagi perkhidmatan dari 1939 hingga 1945 selain dianugerahkan Pingat Jasa Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, cucunya, Lailawati Jamil, 59, berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan datuknya itu pada Januari lalu di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, sebelum dipindahkan ke Hospital Sungai Buluh.

Katanya, pada ketika itu arwah menghubunginya mengunakan telefon di hospital memberitahu bahawa dia tidak sihat, badan sakit-sakit, dan memintanya datang melawatnya di hospital dengan segera.

Menceritakan kenangan bersama datuknya, Lalilawati memberitahu, arwah merupakan seorang yang peramah dan suka berbual.

Katanya, arwah selalu bercerita tentang pengalamannya berperang dan melawan musuh semasa bersama Allahyarham Leftenan Adnan.