Warga masjid, surau gembira jemaah bertambah

ABD FARID
ABD FARID
A
A
A

IPOH - Penambahan jumlah jemaah bagi solat Jumaat, solat fardu dan solat jenazah sehingga 250 orang sesuatu yang sangat menggembirakan ahli kariah masjid dan surau di negeri ini.

Imam Besar Masjid Negeri Perak, Abd Farid Salleh berkata, pengumuman itu memang dinanti-nantikan oleh umat Islam di negeri ini kerana peluang untuk mereka beribadah di masjid lebih terbuka luas.

Menurutnya, sebelum ini dengan hanya 40 jemaah dibenarkan tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid, ramai yang tidak memperoleh peluang untuk menunaikan solat di masjid mahupun surau terutama solat Jumaat.

"Kami amat menjunjung kasih di atas perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dengan menambah bilangan jemaah masjid dan surau sedia ada. Sesungguhnya baginda sangat memahami isi hati umat Islam di negeri ini yang sangat mendambakan untuk solat berjemaah di masjid dan surau.

"Peluang yang diberikan ini seharusnya dimanfaatkan oleh masyarakat Islam di negeri ini untuk kembali mengimarahkan masjid dan surau dengan bilangan jemaah lebih ramai," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Abd Farid berkata, sejak kebenaran solat berjemaah seramai 40 orang di semua masjid dan surau di negeri ini diperkenankan oleh Sultan Nazrin pada 27 Januari lalu, sambutan diterima sangat baik dengan kehadiran jemaah solat fardu terus bertambah.

Menurutnya, jumlah pertambahan itu juga diharap terus konsisten supaya masjid dan surat dapat kekal diimarahkan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Sementara itu, mengenai pekeliling baharu yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) berkaitan bacaan surah al-Mulk dan solat hajat setiap hari, beliau berkata, Masjid Sultan Idris Shah II iaitu Masjid Negeri Perak sudah memulakannya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, semua masjid dan surau lain juga diharap turut bersama-sama melaksanakan saranan itu supaya segala musibah yang sedang dihadapi kini segera dihapuskan.

Pada 9 Februari, Sultan Nazrin berkenan agar bilangan jemaah solat Jumaat, solat fardu dan solat jenazah di seluruh masjid serta surau di Perak ditambah kepada 120 orang.

Bagi Masjid Negeri Perak, masjid-masjid daerah dan masjid-masjid utama di negeri ini boleh menerima kehadiran 250 jemaah.

ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Perak perkenan tambah jemaah solat Jumaat, fardu