ADUN pembangkang cadang Sabah beri peruntukan sama rata

Christina Liew
Christina Liew
A
A
A

KOTA KINABALU - Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Christina Liew mencadangkan kerajaan negeri memberikan peruntukan sama rata kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri ini seperti yang dilakukan kerajaan Perak dan Johor.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tawau berkata, pengumuman Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berhubung pemberian peruntukan khas sebanyak RM100,000 untuk ADUN pembangkang disambut baik oleh pihaknya.

"Kami menghargai pertimbangan dan keprihatinan yang diberikan dalam perkara ini kerana dalam menjalankan tugas membantu rakyat, dana RM100,000 itu bukanlah jumlah yang besar untuk kami melaksanakan tugas di kawasan masing-masing.

"Diharap, selain peruntukan memerangi Covid-19 pada kali ini, adalah lebih baik sekiranya beliau memberikan semua wakil rakyat pembangkang dana pembangunan kawasan mereka seperti yang diamalkan kerajaan Perak dan Johor yang memberikan jumlah peruntukan sama rata kepada ADUN pembangkang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Christina yang juga ADUN Api-Api berkata, peruntukan yang sama rata itu sudah tentu akan dapat membantu kerajaan dan rakyat dalam sektor pembangunan di kawasan masing-masing.

Terdahulu, mengulas lanjut berhubung peruntukan RM100,000 itu, Christina juga berharap Hajiji dapat mempertimbangkan penambahan dana yang diperlukan jika dana itu habis digunakan.

"Saya yakin beliau (Hajiji) boleh mempertimbangkan penambahan dana yang diperlukan untuk membantu rakyat sekiranya dana yang diberikan habis digunakan dalam usaha membantu rakyat.

"Saya percaya Ketua Menteri dapat mempertimbangkan pandangan saya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kerajaan Sabah akan menyalurkan peruntukan khas sebanyak RM3.1 juta kepada ADUN pembangkang di negeri ini.

Jumlah itu membabitkan 31 ADUN pembangkang dan masing-masing akan menerima RM100,000 melalui Pejabat Daerah di kawasan masing-masing bagi membantu mereka menangani masalah berikutan penularan pandemik Covid-19 di negeri ini.