Baharin dilantik CEO baharu TNB

Baharin Din
Baharin Din
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Pengarah Tenaga Nasional Berhad (TNB) melantik Datuk Ir Baharin Din sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu, berkuatkuasa 1 Mac ini.

Beliau menggantikan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, yang dilantik sebagai CEO Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkuat kuasa tarikh yang sama setelah memegang jawatan Presiden dan CEO TNB sejak April 2019.

Dalam pada itu, Baharin kini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian yang bertanggungjawab menerajui segmen perniagaan terbesar syarikat itu.

Beliau berkelulusan ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Elektrikal daripada Syracuse University, New York dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada Bond University di Sydney.

Baharin berkhidmat bersama TNB selama 36 tahun, bermula pada tahun 1985 sebagai pembantu jurutera (pembinaan).

Sementara itu, Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan itu.

“Saya yakin beliau akan terus memacu TNB ke arah mencapai aspirasi strategik untuk menjadi pembekal terunggul bagi solusi tenaga mampan di Malaysia dan peringkat antarabangsa.

“Meskipun berdepan dengan cabaran disebabkan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), TNB kekal beroperasi dengan stabil dan mencatatkan prestasi kewangan yang membanggakan dengan pulangan yang baik kepada pemegang sahamnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Artikel Berkaitan: