Pengurus hotel turun padang jual makanan di tepi jalan

Shaharim memegang plakad bagi menarik orang ramai membeli makanan yang dihasilkan pihak hotel dan dijual di gerai tepi jalan di luar Hotel Seri Malaysia, Port Dickson pada Rabu.
Shaharim memegang plakad bagi menarik orang ramai membeli makanan yang dihasilkan pihak hotel dan dijual di gerai tepi jalan di luar Hotel Seri Malaysia, Port Dickson pada Rabu.
A
A
A

PORT DICKSON - Hanya mengenakan baju Melayu dan berkain pelekat, pengurus Hotel Seri Malaysia di sini sanggup turun padang membantu mempromosikan makanan yang dihasilkan hotel berkenaan di tepi jalan sejak minggu lalu.

Menjadi rutin Shaharim Mokhtar menyertai pekerjanya seawal jam 6.30 pagi untuk menjual makanan di gerai yang dibuka di tepi jalan di luar hotel berkenaan.

Shaharim berkata, inisiatif itu terpaksa dilakukan demi kelangsungan hidup pekerja dan operasi hotelnya susulan perniagaan mereka susut 99 peratus sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sekarang ini hanya satu atau dua tempahan bilik saja yang kami dapat setiap hari berbanding 15 ke 20 bilik sebelum ini. Jadi, kami perlu mencari inisiatif dan kreatif untuk cari pendapatan bagi menampung kos operasi.

"Sebelum ini kami jual makanan di dalam kawasan hotel saja dengan menggunakan kaedah penghantaran dan pandu lalu, tapi ia kurang mendapat sambutan. Mungkin orang tak tahu," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau bagaimanapun berkata, sejak pihak hotel membuka gerai di tepi jalan, ia mendapat sambutan menggalakkan terutama pelanggan yang datang membeli sarapan seawal jam 6.30 pagi sehingga 10 pagi.

Menurutnya, mereka juga menjual makanan tengah hari bermula jam 11 pagi sehingga 2 petang dan kemudian bersambung dengan menu ala carte pada jam 6 petang.

Artikel Berkaitan:

Shaharim memegang plakad bagi menarik orang ramai membeli makanan yang dihasilkan pihak hotel dan dijual di gerai tepi jalan di luar Hotel Seri Malaysia, Port Dickson pada Rabu.
Shaharim memegang plakad bagi menarik orang ramai membeli makanan yang dihasilkan pihak hotel dan dijual di gerai tepi jalan di luar Hotel Seri Malaysia, Port Dickson pada Rabu.

"Apa yang kami buat ini bukannya untuk mencari untung tapi untuk cari pendapatan bagi meneruskan operasi. Kami perlu fikirkan nasib pekerja yang kebanyakannya mempunyai tanggungan.

"Oleh kerana sudah banyak hotel mula jual makanan, jadi kita terpaksa fikir idea lain untuk menarik pembeli. Caranya ialah buka gerai tepi jalan supaya orang senang nampak dengan harga ditawarkan serendah RM2.50" katanya.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga membuat promosi untuk mereka yang mahu sumbangkan makanan kepada mana-mana pihak, selain majlis doa selamat dah tahlil serendah RM6 seorang melibatkan 20 bungkus serta tawaran bilik serendah RM90 untuk pakej 'bekerja dari hotel'.

"Kita juga dalam perancangan membuat promosi pakej akad nikah serendah RM1,500 untuk 27 orang mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.