X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 26 Mei 2022

Peniaga kedai makan sambut baik pengumuman kerajaan

Orang ramai mula makan di kedai makan di Jalan Tebedu di sini, selepas kerajaan membenarkan dua pelanggan di satu meja bermula pada Rabu.
A
A

SABAK BERNAM - Peniaga kedai makan di Medan Selera Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) Jalan Tebedu di sini yang mengalami kemerosotan hasil jualan hingga 70 peratus lega berikutan pengumuman kerajaan membenarkan dua pelanggan makan di satu meja bermula pada Rabu.

Seorang peniaga kedai makan, Siti Halimah Hassan Basri, 47, berkata, kelonggaran itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan kerugian dialaminya selepas terkesan teruk sejak kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, dia mengakui tertekan apabila tidak mampu membayar kos operasi hingga bayaran sewa gerai tertunggak apabila pelanggan tidak dibenarkan makan di kedai.

"Bila pelanggan tak dapat makan di kedai ia sekali gus menyebabkan perniagaan terjejas dan keadaan ini amat memberi tekanan kepada peniaga seperti saya apatah lagi kami hanya bergantung harap kepada punca rezeki ini untuk meneruskan kelangsungan hidup.

"Saya masih mempunyai tiga anak yang bersekolah dan tentunya memerlukan perbelanjaan tinggi," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Siti Halimah yang berniaga di premis itu sejak sembilan tahun lalu berkata, dia menyambut baik pengumuman kerajaan yang membolehkan dua pelanggan makan di satu meja dengan mematuhi penjarak fizikal minimum satu meter.

"Kalau lihat hari ini, saya nampak hasil jualan mula meningkat dan pelanggan mula datang dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat," katanya.

Seorang lagi peniaga, Siti Jamakyah Maslan, 60, berkata, peniaga amat terkesan sepanjang PKP apabila hasil jualan merosot dua atau tiga kali ganda.

Katanya, peniaga amat bergantung kepada kehadiran pelanggan ke gerai makan untuk meningkatkan hasil jualan.

"Biasanya pelanggan yang beli bungkus hanya membeli makanan sahaja, mereka tidak membeli air.

"Sebaliknya jika pelanggan makan di premis, biasanya mereka akan membeli air dan ini secara tidak langsung dapat menambah pendapatan kami," katanya.

Siti Jamakyah berkata, kelonggaran dibenarkan kerajaan itu akan dipatuhi dan memastikan pelanggan terus mengikut SOP ditetapkan.

"Kami akan mengingatkan pelanggan agar patuhi SOP dan kami tidak akan berkrompomi jika ada pelanggan yang tidak ikut arahan ditetapkan kerajaan kerana bimbang dikenakan tindakan saman," katanya.

Dalam pada itu, seorang pelanggan kedai makan, Shamsul Abu, 48 mengakui kebenaran itu amat dinantikan dan berharap pelanggan dapat mematuhi garis panduan ditetapkan kerajaan.

Katanya, pelanggan juga dinasihatkan agar tidak duduk terlalu lama dan beredar sebaik selesai menjamu selera.

"Lebih baik jika hanya dua keluarga sahaja duduk semeja berbanding rakan bagi mengurangkan impak penularan Covid-19," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!