RM3.2 juta disalur kepada petugas KKM dijangkiti Covid-19

Adnan (tengah) bercakap pada sidang akhbar khas mengenai inisiatif dana khas, MOH FWD MY Heroes untuk petugas barisan hadapan KKM di Ibu Pejabat Cuepacs, Kuala Lumpur pada Rabu.
Adnan (tengah) bercakap pada sidang akhbar khas mengenai inisiatif dana khas, MOH FWD MY Heroes untuk petugas barisan hadapan KKM di Ibu Pejabat Cuepacs, Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 1,015 permohonan dana MOH FWD MY Heroes dengan nilai tuntutan sejumlah RM3.23 juta telah dibayar kepada petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta ahli keluarga yang dijangkiti Covid-19.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata, dana khas inisiatif Cuepacs bersama FWD Takaful Berhad itu juga kini telah ditambah sebanyak RM5 juta lagi untuk dimanfaatkan oleh lebih ramai 'pejuang' negara.

Menurutnya, keseluruhan dana kini yang berjumlah RM10 juta itu juga dilanjutkan sehingga 31 Disember tahun ini berikutan berlakunya peningkatan jangkitan dalam kes harian Covid-19 yang boleh meningkatkan risiko kepada petugas barisan hadapan KKM.

"Cuepacs menyambut baik inisiatif FWD Takaful Berhad yang bersetuju menyalurkan tambahan RM5 juta ke dalam dana MOH FWD MY Heroes.

"Dana ini diuruskan oleh Pusat Khidmat Tuntutan CuepacsCare dan sejak dilancarkan pada April tahun lalu, sejumlah RM3.23 juta telah dibayar kepada petugas barisan hadapan KKM serta ahli keluarga yang dijangkiti Covid-19 ketika bertugas dengan melibatkan kira-kira 1,015 tuntutan.

"Justeru kami berharap ketua-ketua jabatan di KKM dapat memaklumkan kepada semua kakitangan mereka mengenai dana MY Heroes selain memudahkan urusan dokumentasi tuntutan memandangkan terdapat sebahagian daripada lebih 4,500 petugas di kementerian terbabit dijangkiti Covid-19 ketika bertugas," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Cuepacs, di sini pada Rabu.

Jelas beliau, pada mulanya MY Heroes memperuntukkan sebanyak RM5 juta dan tambahan sebanyak RM5 juta lagi dibuat kerana FWD Takaful dan Cuepacs sebagai inisiatif menyokong barisan hadapan KKM berikutan kes jangkitan harian Covid-19 yang bertambah sejak kebelakangan ini.

"Pembayaran ihsan dana MY Heroes sebanyak RM40,000 akan diberi sekiranya berlaku kematian kepada petugas barisan hadapan disebabkan oleh jangkitan Covid-19, manakala sejumlah RM10,000 akan dibayar sekiranya dimasukkan ke wad ICU, RM2,000 (wad biasa) dan RM10,000 untuk lain-lain punca kematian.

Artikel Berkaitan:

"Proses permohonan dana ini boleh dibuat melalui laman web dan dana akan disalurkan dalam tempoh dua minggu daripada tarikh permohonan yang lengkap," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Gabungan Kehormat IPTA Malaysia, Abdul Rahman Mohd Nordin berharap insentif dana tersebut dapat diperluaskan kepada kakitangan hospital-hospital universiti IPTA yang terlibat sebagai barisan hadapan memerangi Covid-19.