X

Kindly register in order to view this article
!

Geng samun 'Apoi' tumpas

A
A

KULIM - Polis berjaya menumpaskan sindiket samun dikenali Geng Apoi apabila menahan dua lelaki termasuk ketua kumpulan selepas menyamun seorang suri rumah di flat Taman Jati pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, melalui penahanan dua lelaki berusia 28 dan 30 tahun itu, polis berjaya menyelesaikan 10 kes samun yang dilaporkan sejak Disember lalu.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira 3.40 petang Isnin lalu, suri rumah berusia 33 tahun sedang leka memasak sebelum suspek memberi salam dan pintu dibuka anak perempuan berusia sembilan tahun.

"Kesemua mangsa kemudian diarahkan masuk ke bilik belakang sambil diacukan parang sementara rumah mereka digeledah," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim pada Rabu.

Beliau berkata, susulan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), polis mengenal pasti kenderaan jenis Proton Waja suspek sebelum ditahan ketika melalui kawasan Keladi kira-kira jam 1.30 pagi pada Selasa.

"Ketika ditahan, suspek memecut laju keretanya dan dikejar polis sehingga mengalami kerosakan di tepi jalan Kilang Sago.

"Seorang suspek berjaya ditahan, manakala dua lagi yang menaiki kereta berkenaan melarikan diri," katanya.

Tambahnya, semakan mendapati suspek yang merupakan ketua kumpulan mempunyai empat rekod lampau melibatkan samun dan dadah dan kenderaan yang digunakan adalah milik ibunya.

"Susulan itu, polis berjaya mengesan dan menahan seorang lagi suspek di sebuah rumah dekat sekitar kawasan Kilang Sago.

"Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai 14 rekod melibatkan jenayah samun, pecah rumah dan dadah," katanya.

Azhar berkata, penahanan kedua-dua suspek itu juga berjaya menyelesaikan kes samun terbabit dalam tempoh kurang daripada 24 jam.

"Antara barangan dirampas termasuk tiga bilah parang, tiga telefon pintar, alat pemotong besi, topeng muka, kasut dan sarung tangan.

"Siasatan akan terus dilakukan dan kini polis masih memburu seorang lagi suspek," katanya.

Menurutnya, modus operandi yang digunakan oleh kumpulan ini ialah dengan mensasarkan kediaman yang diduduki oleh wanita yang mudah diserang atau rumah yang senang dimasuki untuk mendapatkan barangan berharga.

"Suspek juga akan bertindak ganas sekiranya mangsa cuba melawan dan tidak teragak-agak mencederakan mangsa.

"Hasil daripada jenayah samun yang dilakukan, suspek dikatakan menjual barangan terbabit bagi tujuan membeli dadah," katanya.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan di mana jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan juga sebatan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!