Kerajaan perlu tangani segera isu PdPR: Anwar

Anwar pada sidang media pada Rabu.
Anwar pada sidang media pada Rabu.
A
A
A

PORT DICKSON - Prestasi pelajar akan terus merudum sekiranya kerajaan tidak menangani segera isu kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu penyediaan peranti juga tidak dapat ditangani dengan baik.

Menurutnya, mutu pembelajaran terutamanya pelajar kurang berkemampuan juga dijangka terus terjejas dan lemah.

"Kalau keadaan ini tidak ditangani segera oleh kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan, saya jangka ia akan terus melemahkan mutu pendidikan terutama dalam kalangan pelajar-pelajar miskin bandar dan desa.

"Ini akan jadi satu masalah besar yang akan dihadapi oleh negara untuk tempoh setahun lebih ini, pembelajaran anak-anak sangat terbatas dan kurang upaya di pihak kementerian untuk menanganinya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Peranti Pintar di Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson dekat sini pada Rabu.

Hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Anwar berkata, pelaksanaan TV Pendidikan juga terbatas daripada segi keupayaan termasuk dalam aspek interaksi dengan murid.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pada majlis tersebut, sebanyak 1,000 telefon pintar diberikan secara percuma kepada keluarga dalam kalangan kategori 40 peratus terendah (B40) di daerah ini bagi tujuan proses PdPR anak masing-masing.

Pemberian tersebut hasil kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Port Dickson dan Yayasan YTL.

Sementara iu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata, tidak wajar untuk ibu bapa dibebankan dengan pembelian peranti kerana ada ramai mereka terutamanya golongan B40 terjejas dengan pendapatan yang merosot.