Lelaki bawa rokok seludup dicekup, sesat dalam ladang sawit

Kenderaan yang digunakan suspek bagi membawa 70,000 batang rokok seludup.
Kenderaan yang digunakan suspek bagi membawa 70,000 batang rokok seludup.
A
A
A

KULIM- Gara-gara tidak arif laluan tikus, seorang lelaki ditahan menyeludup 70,000 batang rokok bernilai RM28,000 di ladang kelapa sawit berdekatan kawasan perkuburan jirat Cina dekat Junjong, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, lelaki berasal dari Johor berusia 24 tahun itu dilihat mencurigakan semasa polis melakukan Ops Bersepadu di kawasan terbabit.

Menurutnya, percubaan suspek melarikan diri menggunakan kereta Perodua Alza warna putih gagal disebabkan permukaan jalan dalam kawasan kebun telah menyukarkan pergerakan suspek.

"Hasil pemeriksaan mendapati suspek secara bersendirian telah membawa rokok yang dipercayai diseludup masuk ke negara ini tanpa cukai kastam untuk pasaran utara Semenanjung Malaysia," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim pada Rabu.

Beliau berkata, suspek yang tidak arif laluan jalan di Kulim mengaku menggunakan laluan hutan bagi mengelakkan ditahan memandangkan banyak sekatan jalan raya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Azhar menunjukkan 70,000 batang rokok yang diseludup seorang lelaki dari Johor.
Azhar menunjukkan 70,000 batang rokok yang diseludup seorang lelaki dari Johor.

"Suspek dikatakan tersesat di ladang kelapa sawit kerana tidak menjumpai jalan keluar sebelum terserempak dengan pasukan polis yang menjalankan operasi," katanya.

Beliau berkata, kertas siasatan telah dibuka bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 bagi tangkapan dan rampasan rokok yang dibuat.

Artikel Berkaitan:

Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada 10 kali ganda dan tidak lebih daripada 20 kali ganda atau penjara tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Saya menggalakkan masyarakat yang mempunyai maklumat berkaitan penjualan rokok tidak bercukai bolehlah disalurkan kepada pihak polis agar tindakan dapat diambil," katanya.

Menurut beliau, aktiviti penjualan seperti ini secara tidak langsung merencatkan pertumbuhan ekonomi negara di mana produk yang dijual tidak membayar cukai menyebabkan kekurangan dalam hasil pendapatan negara.

Untuk rekod, bagi tahun 2021setakat ini, IPD Kulim telah membuat 10 serbuan melibatkan rampasan rokok seludup manakala bagi tahun 2020, sebanyak 20 serbuan telah berjaya dilakukan melibatkan nilai rampasan keseluruhan lebih kurang RM5.5 juta.