X

Kindly register in order to view this article
!

Suami isteri dituduh dera anak angkat

Suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Seorang guru tadika dan suaminya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas tuduhan mendera seorang anak angkat perempuan berusia setahun tiga bulan hingga dipercayai patah kedua-dua kaki antara September sehingga November tahun lalu.

Tertuduh, Nurayuni Mohd Nor, 31, dan pasangan, Mohd Syaiful Afis Abd Wahab, 26, yang juga penganggur bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Berdasarkan pertuduhan, mereka sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun tiga bulan didakwa bersama-sama menganiayai kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal pada bahagian kaki, badan dan wajah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah rumah alamat Taman Perumahan YIK, Kok Lanas di sini, antara September sehingga November tahun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Khairul Anuar Wahab bersama Pengarah Pendakwaan Kelantan, Muhd Zaki Abdul Kudos.

Nurayuni pula diwakili peguam, Wan Mohd Ikram Wan Ibrahim manakala Mohd Syaiful tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Khairul Anuar tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana kes serius melibatkan kanak-kanak.

“Kes ini tular dan dituduh mengikut seksyen sama dengan kes tragis membabitkan kematian Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek, 7, yang turut dituduh di Mahkamah Melaka hari ini,” katanya.

Kedua-dua tertuduh bagaimanapun memohon dibenarkan jaminan dan Wan Mohd Ikram memberi alasan pasangan itu mempunyai tiga anak berusia dua, lima dan enam tahun selain menanggung suami yang tidak bekerja.

Mahkamah kemudian membenarkan pasangan tersebut diikat jamin masing-masing RM20,000 bersyarat tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi-saksi pendakwaan.

Mereka juga perlu menyerahkan pasport kepada polis dan melapor diri di balai setiap bulan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 10 Mac depan.

Kedua-dua tertuduh kemudian menjelaskan jaminan tersebut.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan pasangan tersebut ditahan selepas dipercayai mendera anak angkat perempuan hingga mangsa patah kedua-dua kaki, patah bahu kiri, tercabut kuku jari telunjuk dan kesan parut dicucuh benda panas seluruh badan.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami, isteri ditahan kes dera anak angkat


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!