Cerca, carut pemimpin di media sosial kini penyakit mental nombor satu

Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara mengutuk sekeras-kerasnya tindakan segelintir netizen yang menunjukkan sikap ekstrem, melampau dan tidak patriotik dalam platform media sosial terhadap institusi beraja, institusi Perdana Menteri dan negara yang cenderung menjejaskan kesejahteraan rakyat. - Foto 123RF
Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara mengutuk sekeras-kerasnya tindakan segelintir netizen yang menunjukkan sikap ekstrem, melampau dan tidak patriotik dalam platform media sosial terhadap institusi beraja, institusi Perdana Menteri dan negara yang cenderung menjejaskan kesejahteraan rakyat. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cercaan, hasutan dan carutan oleh netizen dalam media sosial dilihat sudah menjadi penyakit mental nombor satu di negara ini dan memerlukan satu tindakan undang-undang yang lebih tegas dan agresif.

Pengerusi Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris yang menzahirkan kebimbangan itu mencadangkan satu rang undang-undang baharu berkenaan cercaan, hasutan dan carutan perlu diperkenalkan atau dengan meminda undang-undang sedia ada dalam Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

”Dalam hal ini, Parlimen juga boleh menggubal undang-undang menurut Perkara 10(2)(a) untuk menyekat kebebasan bersuara sekiranya ia berkenaan beberapa perkara antaranya, berkaitan keselamatan dalam negeri, prinsip moral, ketenteraman awam dan hubungan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Razali berkata, kaukus itu juga yakin bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan tindakan lebih tegas di bawah AKM 1998, Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957, Kanun Keseksaan (Akta 574) serta Akta Jenayah Komputer 1998 bagi mereka yang menyalahgunakan platform media sosial serta hendaklah dikemukakan kepada Jabatan Peguam untuk pendakwaan.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia menegaskan, kaukus mengutuk sekeras-kerasnya tindakan segelintir netizen yang menunjukkan sikap ekstrem, melampau dan tidak patriotik dalam platform media sosial terhadap institusi beraja, institusi Perdana Menteri dan negara yang cenderung menjejaskan kesejahteraan rakyat.

“Terbaharu cercaan, hasutan dan carutan netizen terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu lawatannya ke Indonesia adalah sesuatu yang tidak boleh diterima serta tidak melambangkan sifat sopan santun dan tatasusila yang baik,” tegasnya.

Walaupun rakyat Malaysia bebas mengeluarkan pendapat dan pandangan, namun ada batasannya serta tidak melanggar undang-undang yang digubal di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menambah kebebasan bersuara adalah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi rakyat Malaysia hendaklah menunjukkan tingkah laku terpuji iaitu kesopanan dan kesusilaan serta tolenrasi untuk dijadikan pegangan kukuh bagi menghormati institusi beraja, perdana menteri dan negara Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan rakyat menunjukkan tingkah-laku disiplin dan patriotisme yang tinggi, tidak kira di mana sahaja mereka berada kerana ia merupakan asas yang diajar sejak di bangku sekolah.

“Ini termasuklah soal menghormati pucuk kepimpinan tertinggi negara seperti Perdana Menteri sendiri,” katanya. - Bernama