Pasangan suami isteri berdepan hukuman gantung

Zuraida dan suaminya, Mohd Fadzli didakwa di dua mahkamah berasingan di sini pada Rabu atas pertuduhan membunuh dna mendera anaknya pada 29 Januari lalu.
Zuraida dan suaminya, Mohd Fadzli didakwa di dua mahkamah berasingan di sini pada Rabu atas pertuduhan membunuh dna mendera anaknya pada 29 Januari lalu.
A
A
A

MELAKA - Ibu kandung dan bapa tiri kanak-kanak berusia tujuh tahun yang maut dipercayai didera berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu atas pertuduhan membunuh anaknya, pada 29 Januari lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh, Zuraida Atan, 32, dan suaminya, Mohd Fadzli Abdull Razak, 38, sejurus pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret, Mazana Sinin.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama-sama didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Zubaidi Amir Qusyairi Abdul Malik, 7, di sebuah rumah di Taman Krubong Jaya di sini, jam 3.32 petang, pada 29 Januari lalu.

Kedua-dua mereka dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama dan boleh dikenakan hukaman mati mandatori, jika disabit kesalahan.

Mohd Fadzli diiringi anggota polis ketika keluar dari Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu.
Mohd Fadzli diiringi anggota polis ketika keluar dari Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu.

Sementara itu, pasangan suami isteri itu turut didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan dengan cara mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau membenarkannya dianiayai, diabaikan atau didedahkan sedemikian.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di alamat yang sama antara jam 10. 30 malam pada 13 Oktober 2019 hingga 3.32 petang pada 29 Januari 2021di lokasi sama.

Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibaca secara berasingan di hadapan Hakim, Nariman Badruddin.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kesalahan Kanak-kanak 2001.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula bagi kedua-dua kes itu pada 29 Mac depan.

Prosiding bagi kedua-dua kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Pengarah Pendakwaan Negeri, Badius Zaman Ahmad.

Zuraida diwakili empat peguam, Zamri Idrus, Ishak Mohd Kari, Yusman Che Man dan Saifuzzaman Ab Rahman sementara Mohd Fadzli diwakili peguam Datuk Ahmad Musthafi Mohamar dan Muhammad Firdaus Abd Razak.

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak maut lemas dalam tong disyaki didera

Jiran kerap dengar tangisan kanak-kanak

Budak mati disyaki didera: Ibu, bapa tiri direman tujuh hari

Ibu kandung pernah dapatkan rawatan psikiatri

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun meninggal dunia selepas dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya, pada 29 Januari lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, kanak-kanak malang itu didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya dengan terdapat beberapa kesan kecederaan di beberapa bahagian badan.

Hasil siasatan dan pemeriksaan pada tubuh badan mangsa bagaimanapun menemukan kesan kecederaan dipercayai akibat didera.

Zuraida ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu.
Zuraida ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu.

Kisah kanak-kanak malang itu sebelum ini pernah tular di laman sosial Facebook pada Oktober tahun lalu apabila ibu angkat yang menjaganya sejak berusia dua bulan terpaksa menyerahkan semula mangsa kepada ibu kandungnya.