Presiden NGO didakwa muat naik komunikasi jelik di Twitter

Ramesh Rao tiba bersama peguamnya atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik di Mahkamah Sesyen Taiping pada Rabu.
Ramesh Rao tiba bersama peguamnya atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik di Mahkamah Sesyen Taiping pada Rabu.
A
A
A

TAIPING - Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia, KN Ramesh Rao mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Taiping pada Rabu atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik di aplikasi Twitter tahun lalu.

Ramesh Rao, 50, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhelmy Hasan.

Dia secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

OKS didakwa melakukan kesalahan itu dengan menggunakan aplikasi Twitter dengan menggunakan laman profil Twitter 'RameshRaoAKS' di pautan https://twitter.com/RameshRaoAKS/status/1287974441347997697 pada jam 12.58 tengah hari pada 28 Julai 2020.

Pautan itu dibaca pada jam 8 malam pada hari sama di Taman Desa Trong Utama, Trong di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan, selepas pensabitan.

Timbalan Pendakwa Raya, Sariza Ismail menawarkan jaminan RM10,000 namun tertuduh diwakili peguam Shamsher Singh Thind merayu jaminan dikurangkan kepada RM5,000 dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama dengan hadir ke mahkamah selain menghormati institusi kehakiman.

Mahkamah kemudiannya membenarkan OKS diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Mac depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini melaporkan, Ramesh Rao menerusi ciapan di Twitter mendakwa Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mensabitkan Datuk Seri Najib Razak dengan tujuh kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram adalah cucu saudara kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Satu laporan polis kemudiannya dibuat seorang ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Afzanizam Abdul Rahman di Taiping berhubung ciapan berkenaan.