Remaja melecur ketika selamatkan diri dalam kebakaran

Keadaan kediaman dihuni 15 beranak yang hangus dalam kebakaran di Jalan Masjid Kampung Merbau Patah, Kuala Terengganu pada Selasa.
Keadaan kediaman dihuni 15 beranak yang hangus dalam kebakaran di Jalan Masjid Kampung Merbau Patah, Kuala Terengganu pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang remaja melecur di bahu dan tangan ketika cuba menyelamatkan diri apabila rumah didiami bersama keluarganya di Jalan Masjid Kampung Merbau Patah di sini terbakar pada petang Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Muhammad Adli Matsu@ Mohd Johan, 19, bagaimanapun dilaporkan stabil selepas menerima rawatan daripada Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) di lokasi kejadian.

Bapanya, Matsu@ Mohd Johan Sidek, 49, berkata, ketika kejadian, mereka 15 beranak tidur di ruang tamu rumah selepas masing-masing kepenatan pulang berniaga di Pasar Borong Gong Pauh di sini.

Matsu @ Mohd Johan melihat dua buah motosikalnya yang hangus dalam kejadian kebakaran di Jalan Masjid Kampung Merbau Patah, Kuala Terengganu pada Selasa.
Matsu @ Mohd Johan melihat dua buah motosikalnya yang hangus dalam kejadian kebakaran di Jalan Masjid Kampung Merbau Patah, Kuala Terengganu pada Selasa.

Kata peniaga sayur itu, dia hanya tersedar selepas dikejutkan isterinya, Rohaida Bakar, 43, memaklumkan terhidu bau hangit sebelum ternampak api di dalam salah sebuah bilik.

"Pada mulanya saya cuba memadamkan api itu tetapi api semakin besar dan merebak sangat cepat. Saya terus arahkan semua anak, menantu dan cucu supaya keluar dari rumah.

"Kami memang tidak sempat selamatkan apa-apa termasuk dokumen penting serta sebuah kereta jenis Proton Iswara, dua buah motosikal dan wang tunai sebanyak RM2,000.

"Semasa situasi kelam kabut itulah anak saya (Muhammad Adli ) terkena percikan api yang sedang marak. Isteri saya juga hampir cedera apabila tersungkur ke tanah dan nyaris kepalanya terkena batu," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Berikutan kejadian itu, semua penghuni di rumah yang disewa sejak lapan tahun lalu dengan bayaran RM200 sebulan, kini tinggal sehelai sepinggang.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.18 petang.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat itu, sebanyak dua jentera, satu water tanker dan dua utiliti dengan kekuatan seramai 30 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu dan dibantu BBP Jalan Kota di sini bergegas ke tempat kejadian.

Kejadian itu melibatkan dua buah rumah separuh kekal dan masing-masing terbakar 100 peratus dan 20 peratus.