Polis Klang Utara terima 10 laporan palsu tahun ini

Nurulhuda
Nurulhuda
A
A
A

KLANG - Polis Klang Utara menerima 10 laporan palsu dan tiga daripadanya telah dituduh di mahkamah pada tahun ini.

Ketua Polis Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, pihaknya masih menyiasat tujuh kes berkaitan laporan palsu.

"Orang ramai diingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya membuat laporan polis palsu untuk kepentingan diri sendiri.

"Kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap individu berkenaan," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Nurulhuda berkata, pihaknya menerima laporan palsu terbaharu daripada seorang lelaki yang mahu mengelak didenda ketika membuat permohonan semula dokumen diri yang telah hilang.

"Suspek berkenaan telah dituduh di Mahkamah Majistret Klang pada Selasa, mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menerima sebanyak 14 laporan palsu melibatkan kes samun dan ragut sepanjang tahun lalu.

"Sebanyak lima kes dituduh di mahkamah sebelum ini manakala sembilan kes lagi akan dituduh dalam masa terdekat," katanya.

Artikel Berkaitan: