Jangan hanya salahkan peniaga

Ramai ibu bapa yang kurang berkemampuan mengeluh apabila berlaku kenaikan harga gajet di pasaran seluruh negara.
Ramai ibu bapa yang kurang berkemampuan mengeluh apabila berlaku kenaikan harga gajet di pasaran seluruh negara.
A
A
A

SHAH ALAM [LAPORAN KHAS] Proses mengaut keuntungan daripada aktiviti penjualan gajet untuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sebenarnya melibatkan keseluruhan rantaian pengedaran, bermula daripada aspek logistik dan pengimportan dari luar negara lagi.

Presiden Dewan Perdagangan Digital Malaysia, Chris Daniel Wong berkata, apabila isu kenaikan harga gajet berlaku, adalah tidak adil bagi semua pihak menuding jari dan menyalahkan golongan pembekal dan peniaga semata-mata.

Sebaliknya, beliau menegaskan kerajaan perlu meneliti masalah itu berdasarkan keseluruhan segmen rantaian pengedaran termasuklah urusan logistik menggunakan sektor perkapalan.

“Memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia menyebabkan sektor perkilangan barangan semikonduktor tidak beroperasi di negara ini apabila ia tidak tergolong dalam perkhidmatan penting.

“Senario itu memberi kesan kepada produktiviti pengeluaran produk peranti komputer dan komunikasi dihasilkan di luar negara seperti China.

“Ditambah pula sektor logistik perkapalan hanya menumpukan urusan mengimport barangan makanan pada saat PKP, maka permintaan untuk import gajet elektronik menyebabkan kosnya semakin meningkat,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian bagi mengulas fenomena kenaikan gajet di pasaran sehingga menekan ibu bapa dalam memenuhi keperluan PdPR anak-anak.

Pada masa sama, Chris menegaskan terdapat sebilangan pemilik premis yang secara sengaja menaikkan kadar sewa.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, hal ini susulan golongan pemilik premis berkenaan beranggapan peniaga dan pembekal barangan peranti elektronik dan gajet akan meraih keuntungan besar daripada pelan PdPR diumumkan kerajaan.

“Apabila dirangkumi semua permasalahan ini, peniaga dan pembekal peranti PdPR akhirnya tiada pilihan selain terpaksa menaikkan harga barang demi menampung kenaikan kos daripada setiap rantaian pengedaran,” katanya.

Di sebalik penjelasan itu, Chris menegaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta agensi berkaitan masih perlu bekerjasama memantau aktiviti penjualan peranti elektronik secara menyeluruh supaya harganya tidak dinaikkan sesuka hati.

Menurutnya, kemungkinan berlaku perbuatan sorok barangan berkenaan bukan mustahil, lebih-lebih lagi difahamkan kerajaan dijangka memperkenalkan inisiatif khas bagi meringankan beban golongan ibu bapa tidak lama lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Harga gajet naik sehingga 70 peratus