Pantaulah tekanan, emosi calon SPM 2020

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

MERAK Jalanan masih teringat pengalaman lebih 20 tahun lalu sewaktu menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Debaran dan stres peperiksaan besar itu jangan cakaplah. Pembelajaran dua tahun di tingkat empat dan lima mahu ditumpahkan semuanya dalam satu peperiksaan.

Menghafal bermacam-macam nota pelajaran terutamanya sejarah, apatah lagi formula matematik tambahan dan fizik serta jadual berkala unsur kimia adalah satu tekanan besar pada waktu itu.

Orang kata boleh pecah kepala jugalah mengenang zaman jadi calon SPM. Dan saat selesai kertas terakhir peperiksaan, ia bagaikan detik ‘kemerdekaan’ yang sangat melegakan.

Merak Jalanan yakin, inilah detik ‘kemerdekaan’ yang sangat dinantikan oleh pelajar SPM tahun 2020.

Walaupun SPM sepatutnya dilaksanakan pada Oktober tahun lalu, namun pandemik Covid-19 menyaksikan peperiksaan itu terpaksa ditunda ke tahun 2021.

“Emosi memang tak stabil sangat, stres dan banyak tekanan. Sekarang kena buat kelas tambahan sahaja dengan cikgu, sebab sudah hilang seminggu lebih untuk kelas bersemuka di sekolah.”

Demikian luahan anak saudara Merak Jalanan yang kebetulan merupakan salah seorang daripada 400,445 pelajar SPM yang bakal memulakan peperiksaan SPM 22 Februari ini.

Artikel Berkaitan:

Merak Jalanan percaya emosi dan stres yang dikongsikan anak saudara Merak Jalanan itu, hampir turut dirasai ribuan calon SPM lain.

Namun, dengan SPM hanya menghitung hari, diharap ibu bapa dan guru-guru lebih banyak membantu memantau kesihatan dan menenangkan emosi calon SPM 2020 ini.

Ini kerana mereka adalah kumpulan calon SPM ‘istimewa’ yang melalui dugaan dan tekanan peperiksaan berganda berbanding kita sebelum ini.