Perkenal kempen 'hutan angkat’

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

“BUMI yang tiada rimba, seumpama hamba, dia dicemar manusia, yang jahil ketawa.” Itulah bait-bait rangkap pertama lirik lagu popular Hijau dendangan Datuk Zainal Abidin.

Paling terkesan adalah rangkap kedua lagu tersebut iaitu “bumi yang tiada udara, bagai tiada nyawa, pasti hilang suatu hari, tanpa disedari.” Penulis adalah antara peminat lagu vokalis kumpulan Headwind itu kerana lagu-lagu yang didendangkan olehnya penuh dengan makna yang mendalam.

Jika dilihat bait-bait lirik lagu Hijau, ia saling berkaitan dengan apa yang terjadi pada hari ini. Sejak kebelakangan ini, hutan-hutan telah tercemar dengan aktiviti manusia akibat daripada kegiatan kuari.

Baru dua bulan, telah dua kali Sinar Harian menerusi laporan eksklusif mendedahkan kegiatan tersebut. Pertama, pada Januari lalu Sinar Harian mendedahkan aktiviti kuari sehingga menyebabkan kerosakan alam semula jadi di kawasan Hutan Simpan Segari Melintang, Manjung, Perak.

Selang sebulan selepas itu, dilaporkan pula Gunung Lano berusia lebih 330 juta tahun bakal lenyap daripada peta negeri Perak akibat aktiviti kuari di kawasan Simpang Pulai.

Kedua-dua kemusnahan hutan itu mempunyai kaitan iaitu disebabkan manusia. Disebabkan aktiviti kuari, pelbagai kesan yang akan berlaku selepas itu sama ada jangka masa panjang atau pendek.

Dari segi kesan kepada alam sekitar, jika kegiatan tersebut dibiarkan berleluasa, akan berlaku banjir akibat perubahan geografi yang sedia ada. Selain itu, penduduk di kawasan sekitar juga akan mengalami pencemaran air dan mendapat kualiti air yang tidak baik kerana kemusnahan yang terjadi.

Dari segi pelancongan, ia akan hilang daya tarikan. Mengambil contoh Gunung Lano, terdapat sebuah tempat popular yang sering dikunjungi oleh pengunjung iaitu Tasik Cermin yang berdekatan dengan kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Penulis sejak dahulu lagi mahu ke kawasan tersebut tetapi sehingga kini tidak berkesempatan. Pernah sekali penulis mahu ke kawasan berkenaan tetapi sesat meyebabkan perancangan terbantut.

Musnah

Jika gunung tersebut musnah dan memberi kesan kepada tasik berkenaan, penulis tidak akan dapat pergi ke kawasan yang dihajati.

Apakah yang harus kita lakukan bagi menghalang kemusnahan hutan daripada berlaku secara berleluasa?

Terdapat pelbagai cara, antaranya seperti yang dicadangkan oleh Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil pada 13 Januari lalu agar Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) dipinda dengan denda RM10 juta dan hukuman penjara daripada lima tahun kepada 30 tahun.

“Sebagaimana sedia maklum, Akta 313 sudah lapuk dan tidak dipinda lebih daripada 30 tahun. Justeru, wujud keperluan yang mendesak untuk meminda undang-undang tersebut bagi memastikan hutan negara dapat dilindungi, selain memastikan pembangunan hutan yang mampan,” kata Shariffa Sabrina.

Pindaan akta tersebut membolehkan hutan yang ada tidak dicemari dengan kegiatan manusia. Jika mereka mahu melakukan kemusnahan, mereka akan fikir banyak kali jika mahu melakukannya kerana undang-undang yang tegas bakal mereka hadapi.

Tidak hanya penguatkuasaan undang-undang, penjagaan hutan juga seharusnya bermula daripada zaman muda lagi. Subjek seperti kelestarian yang terdapat di Universiti Sains Malaysia (USM) perlu diperluas kepada pelajar. Apakah tujuannya? Ia bagi memberi kesedaran kepada mereka agar hutan di Malaysia sentiasa dipelihara dan dipulihara. Mereka juga boleh mengetahui kesan dan akibat sekiranya berlakunya kemusnahan hutan.

Mengambil contoh sebuah kempen iaitu kempen haiwan angkat yang dilakukan oleh Zoo Negara, penulis mencadangkan kempen ‘hutan angkat’ juga perlu diperkenal sebagai usaha memberi kesedaran kepada orang ramai.

Menerusi kempen ‘hutan angkat’, individu yang memilih hutan yang mahu ‘dijaga’ oleh mereka boleh melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlakunya kemusnahan terhadap hutan tersebut.

* Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid ialah Wartawan Sinar Harian