Kisah anak pengakap

No Image Caption
A
A
A

JARANG ada budak-budak yang tidak berminat pada pakaian seragam. Tidak kiralah pakaian seragam polis, tentera, bomba atau apa pun. Lebih-lebih lagilah kalau ‘pakaian seragam’ Power Rangers atau Ultraman. Kecil-kecil lagi sudah tergedik-gedik di pangkuan emak atau kakak apabila melihatnya.

Saya pun sama. Sejak kecil terpesona dengan pakaian seragam. Nampak kemas dan segak walaupun kadang-kadang ternampak juga pak cik-pak cik berpakaian seragam yang perutnya merening-rening hinggakan butang baju di bahagian itu tidak boleh dikancing.

Kerana minat yang mendalam terhadap pakaian seragamlah, saya tidak berfikir dua kali apabila mendapat peluang menyertai pasukan Pengakap Kanak-Kanak (dahulunya disebut Anak Serigala) semasa di sekolah rendah.

Masih ingat lagi, hari pertama pakai pakaian seragam pengakap, hidung rasa terjungkit-jungkit. Bangga yang susah digambarkan. Sekejap sekejap tengok cermin. Sekejap sekejap tengok cermin.

Kalau diturutkan hati mahu rasanya hendak pusing keliling kampung dengan pakaian seragam itu, kemudian hendak berjalan kaki sampai ke pekan Sungai Besar. Biar semua orang tahu saya seorang pengakap!

Sebab lain yang menarik saya menyertai pasukan pengakap adalah kerana ada ‘nyanyi-nyanyi’ dan ‘makan-makan’. Lagu Bertemu & Berpisah, Buat Apa Susah sangat akrab di telinga saya. Ia tidak termasuk kesukaan makan ikan sardin yang digilap sejak perkhemahan pengakap lagi.

Kalau semasa Tahun Satu dan Dua, hanya melihat abang-abang senior melakukannya, setelah menjadi pengakap semasa Tahun Tiga, saya sendiri berpeluang menimba pengalaman menarik itu. Memang syahdu. Ketika belum memiliki uniform sendiri, baju T pe-ngakap dipinjamkan oleh pihak sekolah.

Adakalanya dapat baju yang tiada butang, mengembang di bahagian bawah - mungkin pelajar senior yang meminjamnya berbadan besar. Kami perlu membeli skarf dan wogel sahaja.

Artikel Berkaitan:

Belajar berkawad pun sebenarnya seronok walaupun kadang-kadang meletihkan. Fikiran perlu fokus untuk mendengar arahan. Jika arahan ‘ke kiri pusing’ jangan pula kita pusing ke kanan. Perasaan letih itu hanya berkurang kalau berdekatan padang tempat berkawad itu ada dua tiga orang budak perempuan. Pada waktu begitu, jika disuruh berkawad sehingga maghrib pun rasa-rasanya tiada masalah. Dua guru pengakap yang akan saya kenang ke akhir hayat ialah Cikgu Nasaruddin Salimi semasa di sekolah rendah dan Cikgu Ariff Hairoman ketika di sekolah menengah. Mereka ialah guru pengakap yang hebat kebetulan berada di sekolah saya.

Sejak peringkat kanak-kanak lagi, kepengakapan sebenarnya menyuntik banyak ilmu dan semangat baharu. Paling penting adalah pembinaan semangat kesukarelawanan. Sifat itu saya bawa sehinggalah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri dan ahli Parlimen.

Semuanya terpancar dari saat menjadi adik baharu yang diperkenalkan kepada Akela - Kami Buat Habis Baik, saat melafazkan Persetiaan Pengakap, saat disematkan lencana, disarungkan skarf dan dipakaikan topi sehinggalah kepada aktiviti perkhemahan, ujian, latihan dan sebagainya.

Keberkesanan nilai-nilai pengakap yang dipupuk dan disuntik itu juga cukup ketara. Saya tidak boleh bercakap bagi pihak orang lain tetapi untuk diri saya, peluang melaksanakan nilai-nilai yang diajar dalam kepengakapan merupakan sesuatu yang sangat saya nanti-nanti. Dapat tolong orang lintas jalan, saya seronok. Dapat selamatkan kucing yang terjatuh ke parit, saya seronok.

Dapat pulangkan dompet orang yang saya jumpa di tengah jalan, saya seronok. Pendek kata, kalau zaman kanak-kanak dan remaja saya sudah ada media sosial seperti sekarang, mungkin laman ‘muka buku’ saya penuh dengan gambar-gambar seperti itu. Kalau bukan kejadian sebenar sekalipun, mungkin lakonan atau parodinya.

Pada zaman kanak-kanak saya, menjadi pengakap juga boleh menjadi sumber rezeki tambahan. Pusing-pusing dengan pakaian seragam, cari rumah orang kemudian tawarkan diri untuk membasuh kereta atau membersihkan halaman. Dari mengutip 50 sen sehinggalah RM5. Jarang kami balik dengan tangan kosong. Kalau bukan disuruh basuh kereta atau bersihkan halaman, kami mungkin diminta membantu melakukan kerja-kerja lain. Selalunya ada upah tetapi ada juga terjadi sekali-sekala, upahnya sekadar sirap dan kuih.

Pengalaman

Anak-anak yang menjadi pengakap sekarang ini mungkin agak susah hendak mendapat pengalaman seperti itu. Pada masa dahulu perasaan saling mempercayai dalam kalangan masyarakat masih menebal. Tidak macam sekarang, dengan jiran sendiri pun curiga.

Sebab itu, tidak mudah untuk anak-anak pengakap mengetuk pagar rumah orang bagi menawarkan tenaga untuk membantu. Pakailah pakaian seragam lima lapis pun, orang takut hendak percaya. Sebabnya, kecurigaan menjadi sebahagian daripada budaya hidup sekarang.

Pengakap di Malaysia selalu disinonimkan dengan Pingat Hang Tuah. Ia bukanlah kerana pingat yang mula diperkenalkan pada tahun 1960 itu dikhususkan untuk pengakap tetapi kerana kebanyakan penerima pingat itu adalah ahli pasukan pengakap.

Pada tahun 1960-an sehingga pertengahan 1970-an, Pingat Hang Tuah merupakan pingat paling berprestij dalam kalangan kanak-kanak dan remaja dan kerana itu sangat ‘glamour’ dalam kalangan golongan tersebut.

Selalunya yang menjadi penerima pingat ini adalah kanak-kanak yang menunjukkan keberanian luar biasa sehingga menyelamatkan nyawa orang lain. Tempat saya, Sungai Besar, mungkin menjadi antara kawasan terhebat di Malaysia ini sebab telah melahirkan dua penerima Tokoh Kanak-Kanak iaitu Halim Basir dan Miswan Nasir.

Malangnya, anugerah Pingat Hang Tuah diberhentikan pada tahun 1978 dan diganti dengan Tokoh Kanak-Kanak, jika tidak saya mungkin menjadi anak Sungai Besar ketiga menjadi penerimanya. Apabila pingat itu diwujudkan kembali beberapa tahun lalu, saya sudah terlalu tua untuk dipilih sebagai penerima, tidak kiralah seberani mana pun saya.

Saya menganggotai pengakap sehingga Tingkatan Lima. Tiga fasa kepengakapan saya lalui – pengakap kanak-kanak, pengakap muda dan pengakap remaja. Daripada bermottokan Buat Habis Baik (pengakap kanak-kanak), Selalu Sedia (pengakap muda) sehinggalah Pandang Luas (pengakap remaja). Daripada tidak kenal apa-apa tentang simpulan dan manik kayu sehinggalah ke peringkat siang malam berangan hendak menjadi Pengakap Raja (King’s Scout), lencana tertinggi dalam dunia pengakap.

Untuk menjadi Pengakap Raja tidak mudah. Kena selesaikan semua lencana, kena selesaikan buku-buku lognya, kena hadiri Pra Pentarafan Pengakap Raja peringkat daerah atau peringkat negeri.

Kemudian kena lalui semua ujian kecekapan yang berkaitan dengan ilmu kepengakapan, daripada kawad, penulisan buku log, kemahiran bertahan (survival skill), kepetahan berucap, pengetahuan am, membina menara, kemahiran simpulan dan ikatan.

Ia memang agak payah, namun tetap menjadi impian kebanyakan anggota pengakap yang serius dengan penyertaannya dalam pasukan tersebut.

Saya tidak sempat diuji menjadi Pengakap Raja kerana Tingkatan Empat dan Lima saya sibuk dengan aktiviti pidato, debat dan deklamasi puisi. Namun, jasa ilmu pengakap tetap saya kenang sehingga hari ini. Bukankah ilmu membakar ikan kembung dan mengikat tali ampaian adalah juga ilmu budak pengakap? Ilmu itu menjadikan saya suami mithali.#dush!

* Datuk Budiman Mohd Zohdi ialah ahli politik dan penulis buku yang gemar bernostalgia