SPRM digesa siasat kelulusan permit ladang di Perak

12
A
A

IPOH - Ahli Parlimen DAP dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), hari ini membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan dijalankan berhubung kelulusan permit ke atas sebuah syarikat bagi tujuan pembangunan ladang dalam daerah Kinta, Disember lalu.

Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su berkata, siasatan terperinci perlu dilakukan memandangkan timbul keraguan bagaimana syarikat yang baru ditubuhkan kurang lima bulan itu memperolehi kebenaran mengusahakan tanah seluas 400 hektar masing-masing di Hutan Simpan Kledang Saiong dan Hutan Simpan Bukit Kinta.

"Isu ini telah tular di media sosial dan surat berkaitan kelulusan projek juga telah tersebar, menteri besar sendiri tidak menolak perkara demikian sebaliknya memberitahu akan disiasat.

"Tetapi kita tetap buat laporan SPRM agar siasatan lebih teliti dapat dilakukan sekiranya berlaku salah laku dan perlanggaran akta sepanjang proses kelulusan berlangsung," katanya kepada pemberita di hadapan Pejabat SPRM Perak, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan maklumat diperolehi, syarikat yang membuat permohonan tanah itu ditubuhkan pada 26 Julai 2018 dan menerima kelulusan permit pada 14 Disember tahun yang sama.

"Mengapa kelulusan permit ini diberikan kepada syarikat ini dan bukannya kepada syarikat lain? Ianya tidak betul," katanya.

Beliau berkata, sebagai kerajaan baharu, seharusnya pentadbiran yang ada ini meneliti semula polisi-polisi dalam pemberian tanah tanpa mengulangi perkara-perkara lama yang tidak lagi diterima rakyat.

Pihaknya turut mencadangkan agar kerajaan negeri melakukan proses pembaharuan lesen secara tahunan dan memberikan pemilikan hak tanah secara tender terbuka bukan pengkhususan terhadap syarikat mahupun agensi tertentu.

"Saya dapat banyak panggilan terutama daripada petani-petani di kawasan saya, mereka mengusahakan tanah kerajaan sejak berpuluh tahun hingga dua generasi, tetapi nak mohon tiga ke lima ekar tidak dapat kerana semua tanah telah diberikan kepada MB Inc (Perbadanan Menteri Besar), SADC (Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak) dan agensi kerajaan yang lain," katanya.

Sejak Jumaat lalu, tular satu surat mendakwa kerajaan negeri Perak melalui Mesyuarat Jawatankuasa Sumber Hasil Hutan Negeri Perak pada November 2018 meluluskan kawasan seluas 400 hektar kepada sebuah syarikat bagi tujuan Projek Pembangunan Ladang Hutan.

Ketika diminta mengulas perkara berkenaan, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilaporkan berkata kerajaan negeri akan menyemak perkara itu.

Hadir sama membuat laporan SPRM, Setiausaha Peka, Naomi Samson.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tular lulus permit: Biar saya semak dulu, kata MB Perak]