Hati-hati beri komen di media sosial kerana berkait Rukun Negara

Mohd Roslan Mohd Nor
Mohd Roslan Mohd Nor
A
A
A

SEREMBAN - Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR) meminta netizen supaya berhati-hati dan berhemah ketika memberikan komen di media sosial kerana ia boleh mencerminkan penghayatan terhadap prinsip Rukun Negara.

Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR), Profesor Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata, sikap netizen yang terlalu terbuka dan meninggalkan komen menggunakan perkataan jelik sangat memalukan dan tidak langsung menunjukkan penghayatan terhadap Rukun Negara, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

“Di manakah Kesopanan dan Kesusilaan tersebut apabila komen-komen perkataan jelek digunakan dan ditinggalkan di media sosial.

“Satu contoh yang dapat diperhatikan adalah komen atau cercaan seorang netizen yang sangat memalukan terhadap lawatan rasmi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Indonesia di atas jemputan Presiden Republik Indonesia beberapa hari lepas,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, lawatan tersebut penting untuk mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia yang merangkumi pelbagai perkara utama termasuk usaha sama menangani Covid-19.

“Pihak Pejabat Perdana Menteri telah menjelaskan dengan terperinci mengenai SOP berkaitan dengan lawatan tersebut di mana ia melibatkan jumlah rombongan minimum.

“Mereka juga menggunakan pesawat kerajaan, ahli rombongan tidak dibenarkan ke tempat lain, melakukan ujian swab, kuarantin dan sebagainya yang berkait dengan pencegahan penularan Covid-19.

“Namun malangnya masih ada beberapa golongan tidak bertanggungjawab memberi komentar yang mencemarkan imej negara dengan menggunakan perkataan sangat memalukan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, perkara sebegini jika dibiarkan boleh merosakkan sistem kemasyarakatan negara kita, dengan kebebasan tanpa batasan yang seakan-akan tidak mempunyai sistem kawalan.

“Kita mahu supaya semua lapisan masyarakat dapat menjiwai Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan yang seharusnya menjadi teras utama rakyat negara ini,” katanya.

Ujar beliau, PINTAR menggesa pihak berkaitan untuk mengambil tindakan bagi memberi kesedaran kepada rakyat mengenai implikasi yang mereka hadapi sekiranya tidak mengawal amarah dan emosi, terutama ketika memberikan komen jelik di laman sosial.