Misi WHO gagal kenal pasti sumber sebenar Covid-19

Embarek (tiga dari kanan) menyertai sidang akhbar untuk merumuskan laporan mereka terhadap misi menyiasat asal-usul Covid-19 di bandar Wuhan pada Selasa. - Foto: AFP
Embarek (tiga dari kanan) menyertai sidang akhbar untuk merumuskan laporan mereka terhadap misi menyiasat asal-usul Covid-19 di bandar Wuhan pada Selasa. - Foto: AFP
A
A
A

WUHAN - Misi bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pasukan pakar di China yang menyiasat asal-usul Covid-19 gagal mengenal pasti sumber sebenar pandemik tersebut yang telah merekodkan lebih 106.5 juta jangkitan.

Penyelidikan dilakukan mereka masih tidak dapat mengenal pasti sumber haiwan yang menyebarkan wabak itu selepas pakar percaya ia berasal daripada kelawar dan mungkin disebarkan kepada manusia melalui spesies mamalia lain.

"Hos sebenar masih belum dikenal pasti walaupun sumber utama dipercayai adalah haiwan.

"Kajian menunjukkan virus itu boleh dibawa pada jarak jauh selepas ia dikesan pada rangkaian produk sejuk beku," kata ketua pasukan pakar di China, Liang Wannian pada sidang akhbar untuk mendedahkan laporan tentang misi selama dua minggu yang dilakukan kumpulan pakar daripada WHO pada Selasa.

Menurutnya, tiada petunjuk yang membuktikan penyakit itu merebak di Wuhan sebelum Disember 2019 ketika kes jangkitan pertama direkodkan.

Kenyataan itu turut disokong pakar WHO, Peter Ben Embarek yang menjelaskan tiada bukti wabak pada skala besar melanda ibu kota wilayah Hubei sebelum pandemik itu menular.

Beliau juga menolak teori kontroversi yang mendakwa penularan Covid-19 berpunca daripada sebuah makmal di Wuhan seperti dilaporkan banyak pihak sebelum ini.

"Oleh itu, ia tiada dalam hipotesis yang akan kami cadangkan untuk kajian pada masa hadapan," ujarnya. - AFP

Artikel Berkaitan: