Bekas CEO 1MDB diperintah Jho Low

No Image Caption
A
A
A
KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, ketika bertugas di syarikat kontroversi itu, dia diperintah oleh ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho.

Mohd Hazem Abd Rahman berkata, beliau yang menyertai 1MDB sebagai ketua pegawai operasi pada Ogos 2012 manakala CEO bermula Mac 2013 hingga Januari 2015 berkata, ini kerana Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, umpama orang kanan dan penasihat khas Datuk Seri Najib Razak untuk 1MDB.

Katanya, beliau tidak pernah memberitahu hakikat tersebut kepada mana-mana pihak.

Namun tanpa memaklumkan perkara tersebut sekalipun, beliau berkata, ahli lembaga syarikat sedia maklum dengan pengaruh Jho Low terhadap CEO.

Bukan itu sahaja, saksi ke-10 pendakwaan bagi kes rasuah 1MDB dan pengubahan wang haram membabitkan Najib berkata, semua pihak mengetahui nama Jho Low tidak perlu direkodkan dalam setiap perkara yang rasmi.

Ketika ditanya oleh peguam, Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Najib, saksi berusia 47 tahun itu berkata, jika Jho Low memberi arahan, sesiapa sahaja di syarikat itu akan menganggap ia adalah daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO).

“Ia termasuk ketika Ketua Pegawai Kewangan 1MDB (CFO) Azmi Tahir memberi taklimat kepada ahli lembaga syarikat dan jika ia adalah arahan daripada Jho Low, kami akan mengatakan ia dari PMO,” katanya.

Wan Aizuddin: Jika Jho Low arah jangan sebutkan namanya dalam dokumen rasmi syarikat, pernahkah anda tanya kenapa, atau sekurang-kurangnya beritahu bahawa anda bukan bonekanya.

Mohd Hazem: Ini arahan, sebab paling teratas dalam syarikat adalah PMO, perdana menteri.

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya utama, Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala peguam mewakili Najib diketuai peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok (Rabu).

Artikel Berkaitan: