Salahuddin perlu lapor SPRM tawaran percutian kelas pertama

SPRM
SPRM
A
A
A

SHAH ALAM – Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub sewajarnya melaporkan tawaran percutian kelas pertama di Eropah yang didedahkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, ia selepas Salahuddin menyedari bahawa itu adalah percubaan untuk merasuahnya selaras dengan peruntukan yang ada dalam Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 mengenai kewajipan untuk melaporkan transaksi penyogokan.

“Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 berbunyi mana-mana pegawai badan awam yang diberi, dijanjikan, atau ditawarkan apa-apa suapan dengan melanggar mana-mana peruntukan akta ini hendaklah melaporkan pemberian, janji atau tawaran itu berserta dengan nama, jika diketahui, orang yang memberikan, menjanjikan atau menawarkan suapan itu kepadanya kepada pegawai suruhanjaya atau pegawai polis yang paling hampir.

“Malah, Seksyen 25 (2) Akta SPRM 2009 ini juga memperuntukkan bahawa kegagalan untuk melaporkan transaksi penyogokan sebenarnya adalah suatu kesalahan yang apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Salahuddin sebelum ini mendedahkan beliau pernah menerima tawaran percutian mewah ke Eropah daripada syarikat pengimport yang mempunyai kaitan dengan kartel daging ketika menjadi menteri.

ARTIKEL BERKAITAN: Salahuddin dedah pernah ditawar percutian mewah daripada kartel daging

Menurut laporan New Straits Times pada Selasa, Salahuddin berkata, tawaran tersebut diberikan ketika beliau mengadakan perjumpaan bersama wakil pengimport daging itu beberapa bulan selepas dilantik ke jawatan tersebut.

Salahuddin berkata, beliau mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan perjumpaan yang sepatutnya menjadi sesi perkenalan antara menteri dan juga pemain industri itu apabila ditawarkan dengan pakej percutian yang digambarkan sebagai ‘kunjungan hormat’.

Artikel Berkaitan:

Kamarul menambah, Ahli Parlimen Pulai itu sewajarnya dipuji kerana pendedahan beliau di dalam akhbar mengenai penolakan tawaran percutian kelas pertama di Eropah itu.