Tambah baik PdPR versi 1.0, tangguh PdPR 2.0

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kaji selidik Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) mendapati responden mahu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) versi 1.0 dikekalkan dengan penambahbaikan serta menolak pelaksanaan PdPR versi 2.0.

Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, 98 peratus atau 14,043 daripada 14,298 responden menyatakan maklum balas tersebut menerusi kaji selidik berhubung PdPR versi 2.0.

Menurutnya, antara maklum balas responden adalah belum masanya untuk murid membiasakan diri belajar dari 7.30 pagi hingga 1 tengah hari di hadapan komputer, komputer riba atau telefon bimbit selain mengurangkan subjek dalam satu hari, serta masih ramai murid belum mempunyai peranti untuk PdPR terutama daripada keluarga berpendapatan rendah.

“NUTP menggesa KPM menangguhkan pelaksanaan PdPR versi 2.0 yang menambah bebanan kepada murid, guru dan seterusnya ibu bapa kerana pihak KPM seolah-olah tidak mengambil kira situasi pembelajaran di rumah,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga menjalankan kaji selidik berkenaan PdPR dari sudut pandangan ibu bapa dengan 16,554 responden memohon KPM menambah baik kaedah PdPR.

Antara maklum balas responden termasuk ibu bapa merasa terbeban kerana sukar membantu anak-anak dalam pembelajaran terutama golongan ibu bapa yang tidak berpelajaran tinggi, PdPR dilihat terlalu membebankan murid dengan lambakan kerja sekolah selain guru tidak dapat meneliti tahap kebolehan murid.

Harry Tan berkata, pihak KPM seharusnya mencari pendekatan terbaik untuk melancarkan PdPR seperti menyelesaikan permasalahan murid yang ketiadaan peranti, masalah capaian Internet dan membantu mengawal harga kos peranti yang semakin meningkat.

“Sehubungan itu, pihak NUTP merayu campur tangan Menteri Kanan Pendidikan untuk menangguhkan PDPR versi 2.0 dengan mendengar rayuan dan mengambil kira rintihan murid, ibu bapa dan guru,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan Panduan Pelaksanaan Jadual Waktu PdPR versi 2.0 di laman web KPM, jadual waktu yang dicadangkan bagi sekolah rendah bermula 7.30 pagi sehingga 1 tengah hari manakala bagi sekolah menengah rendah (Tingkatan 1 hingga 3) bermula 7.30 pagi sehingga 2 petang.

Melalui sesi PdPR versi 2.0 ini, guru akan menyampaikan kandungan mata pelajaran bagi 30 minit pertama, kemudian memperuntukkan 30 minit seterusnya untuk sesi latihan dan tutorial.

Guru juga perlu memperuntukkan waktu rehat pendek selama dua hingga lima minit pada setiap 30 minit sesi PdPR dan lima hingga 10 minit pada waktu peralihan mata pelajaran dengan meminta murid melakukan aktiviti seperti regangan atau senaman ringan. - Bernama