Singapura hantar pulang rakyat Malaysia terpengaruh fahaman radikal

Seorang rakyat Malaysia berumur 33 tahun dihantar pulang pada Ogos 2020 selepas siasatan menunjukkan lelaki itu penyokong kumpulan militan ISIS. - Gambar hiasan
Seorang rakyat Malaysia berumur 33 tahun dihantar pulang pada Ogos 2020 selepas siasatan menunjukkan lelaki itu penyokong kumpulan militan ISIS. - Gambar hiasan
A
A
A

SINGAPURA - Seorang rakyat Malaysia berumur 33 tahun dihantar pulang ke negara asalnya pada Ogos 2020 selepas siasatan menunjukkan bahawa lelaki itu merupakan penyokong kumpulan militan ISIS.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) Singapura dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, isteri lelaki terbabit bagaimanapun dikenakan Arahan Sekatan (RO) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk tempoh dua tahun pada Ogos tahun lepas selepas siasatan mendapati wanita itu terpengaruh dengan ideologi radikal suaminya.

ISD memberitahu, pihaknya bekerjasama rapat dengan Cawangan Khas Malaysia (MSB) dalam penyiasatan terhadap Mohd Firdaus Kamal Intdzam, seorang pekerja pembersihan di Singapura yang ditahan di bawah ISA pada Julai 2020.

“Pas kerjanya dibatalkan dan dia dihantar pulang ke Malaysia dan diserahkan kepada MSB pada Ogos 2020 sebaik siasatan ISD terhadapnya selesai,” menurut kenyataan itu di sini.

Antara lain, ISD menyatakan Mohd Firdaus mula menjadi radikal pada 2016 apabila dia menyimpan niat untuk ke Syria bersama isterinya untuk menyertai perjuangan bersama ISIS.

Isterinya, Ruqayyah Ramli seorang warga Singapura berusia 34 tahun turut menyokong niat Mohd Firdaus untuk menyertai ISIS dan memulakan perjuangan di Syria, menurut jabatan itu.

Suri rumah yang juga guru agama sambilan itu bersedia menemani suaminya ke Syria dengan membawa bersama dua anaknya.

“Wanita itu percaya peranannya di zon konflik itu ialah menjaga keluarga (dengan memasak dan melakukan kerja rumah) dan membantu pejuang ISIS yang cedera,” menurut ISD. - Bernama

Artikel Berkaitan: