MADA peruntuk RM195,000 tangani serangan bena perang

Ahmad Tarmizi (kanan) melihat pokok padi yang diserang bena perang.
Ahmad Tarmizi (kanan) melihat pokok padi yang diserang bena perang.
A
A
A

PENDANG - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) memperuntukkan RM195,000 untuk menangani serangan bena perang di Kawasan Muda.

Pengerusinya, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, anggaran kos itu membabitkan kawasan kawalan seluas 1,819 hektar sawah padi.

Menurutnya, kaedah pelaksanaan program itu adalah melalui perkongsian kos input 50 peratus antara MADA dan peladang manakala kos aplikasi ditanggung sepenuhnya oleh peladang.

“MADA sedang melaksanakan program membantu kawalan serangan bena perang di kawasan yang mempunyai penilaian risiko sangat tinggi dengan anggaran keluasan 1,819 hektar secara berperingkat,” katanya selepas mengadakan lawatan kawalan bena perang di Tanjung Radin dan Bukit Seni, pada Selasa.

Ahmad Tarmizi berkata, program itu secara tidak langsung dapat mengurangkan beban peladang selain komitmen MADA membantu mengawal serangan bena perang di peringkat ladang.

“Serangan bena perang ini bermula dari peringkat semaian sehingga peringkat berbuah. Sekiranya tidak dikawal, ia boleh menyebabkan pokok padi menjadi kering seperti terbakar dan seterusnya mati (hopperburn),” katanya.

Setakat Rabu lalu, beliau berkata, keluasan serangan bena perang yang direkodkan adalah 724.66 hektar dengan 276.97 hektar daripadanya telah mencapai tahap ‘hopperburn’.

“Di Wilayah I (Perlis), keluasan serangan bena perang adalah 37.56 hektar manakala keluasan ‘hopperburn’ sebanyak 12.07 hektar. Bagi Wilayah II (Jitra) direkodkan serangan (164.15 hektar) dan keluasan ‘hopperburn’ (94.07 hektar),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, seluas 36.52 hektar serangan bena perang direkodkan di Wilayah III (Pendang), dengan keluasan ‘hopperburn’ sekitar 63.68 hektar.

“Di Wilayah IV (Kota Sarang Semut) melibatkan keluasan serangan bena perang sebanyak 212.46 hektar dan ‘hopperburn 107.15 hektar,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya berharap peladang melakukan pemantauan ladang dengan lebih kerap dan teliti supaya tindakan kawalan bersesuaian dapat dilakukan segera dan efektif.

“Peladang juga dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat pengurusan perosak dari Pertubuhan Peladang Kawasan (PKK) berdekatan.

"MADA komited bantu peladang untuk mengawal serangan bena perang dari terus merebak, sekali gus menjejaskan hasil padi dan pendapatan peladang,” katanya.