Dua rakan ugut tembak guna pistol ditahan

Rahimi (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barang yang dirampas daripada suspek termasuk pistol dan peluru pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Selasa.
Rahimi (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barang yang dirampas daripada suspek termasuk pistol dan peluru pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Selasa.
A
A
A

GEORGETOWN - Dua rakan ditahan bersama sepucuk pistol dan tujuh peluru hidup dalam serbuan di sebuah hotel di Lebuh Victoria di sini pada jam 12.30 tengah hari pada Isnin.

Kedua-dua lelaki berusia 27 dan 34 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes peras ugut terhadap seorang lelaki berusia lingkungan 30-an.

Penahanan kedua-dua suspek itu dilakukan selepas risikan dan intipan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd Ra'ais berkata, penahanan kedua-dua suspek dari Pulau Pinang dan Selangor itu dibuat selepas polis menerima laporan daripada bapa mangsa.

Menurutnya, daripada laporan bapa mangsa yang berusia 57 tahun itu, anaknya telah diugut bunuh oleh dua lelaki yang dikenalinya di rumah mereka di Jalan Datuk Ismail Hashim, Bayan Lepas di sini pada jam 10.54 pagi pada Isnin.

“Kedua-dua lelaki tersebut telah mengugut untuk menembak mangsa dengan mengacukan pistol ke arahnya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Selasa.

Rahimi berkata, motif ugutan itu dipercayai berkaitan kes hutang membabitkan mangsa namun siasatan lanjut masih dijalankan.

“Dalam serbuan itu, kita merampas sepucuk pistol jenama Glock, seunit kelopak peluru (magazin), tujuh butir peluru, sekeping kad kuasa Polis Di Raja Malaysia (PDRM), dua bilah pisau lipat dan dadah jenis syabu seberat 0.9 gram.

Artikel Berkaitan:

“Berhubung kad kuasa tersebut, ia tulen dan milik salah seorang anggota polis di kontinjen lain (bukan Pulau Pinang). Kita masih menjalankan siasatan mengenai kad kuasa itu sama ada ia diberikan oleh anggota tersebut atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata, polis sedang menyiasat sama ada kedua-dua suspek menggunakan pistol dan kad kuasa PDRM tersebut untuk kegiatan jenayah lain.

“Suspek yang berusia 27 tahun itu mempunyai 11 rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah manakala rakannya tiada rekod jenayah. Mereka dipercayai menginap di hotel sejak seminggu lalu.

“Suspek juga menjadikan bilik hotel berkenaan sebagai tempat mereka menghisap dadah susulan rampasan beberapa peralatan untuk menghisap dadah,” katanya.

Jelasnya, ujian air kencing kedua-dua suspek yang bekerja sendiri itu didapati positif methamphetamine.

“Kita sedang menyiasat kes ini kerana kedua-dua suspek baru ditahan semalam (Isnin). Polis turut merampas sebuah kereta jenis Toyota Altis daripada salah seorang suspek.

“Dipercayai suspek menyewa kereta tersebut sejak seminggu lalu di Selangor. Kedua-dua suspek direman lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960,” katanya.