X

Kindly register in order to view this article
!

22 premis kelengkapan elektronik, komunikasi diberikan notis

KPDNHEP WPKL membuat pemeriksaan terhadap premis jualan di salah satu pusat terkemuka di Lembah Klang pada Selasa.
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) mengeluarkan notis kepada 22 premis melibatkan barangan kelengkapan elektronik dan komunikasi sepanjang pelaksanaan Ops Catut 8.0.

Pengarah Pejabat KPDNHEP WPKL, Ariffin Samsudin berkata, notis itu diberi bagi tujuan siasatan harga jualan barangan elektronik terutama komputer riba.

“Hasil pemeriksaan hari ini (Selasa), notis dikeluarkan terhadap empat barangan bagi siasatan kenaikan harga.

“Peniaga diberi masa dua hari bagi memberi maklum balas dan mengemukakan dokumen-dokumen berkaitan kos barangan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Ariffin, KPDNHEP WPKL membuat pemeriksaan terhadap premis jualan yang telah dilaporkan oleh Sinar Harian.

Pada Isnin, tinjauan Sinar Harian mendapati harga komputer riba dan gajet elektronik dikesan melambung tinggi di pasaran dengan kenaikan sehingga 70 peratus kerana permintaan tinggi susulan pelaksanaan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Menurut tinjauan di beberapa kedai elektronik di dua buah pusat terkemuka di Lembah Klang mendapati terdapat perbezaan yang ketara terhadap harga peranti yang dijual ketika ini berbanding tahun lalu.

Ariffin berkata, siasatan awal tidak menemui sebarang kenaikan harga pada kuantum sepertimana yang dilaporkan di premis terbabit.

“Bagaimanapun, siasatan adalah di peringkat awal dan masih diteruskan terhadap premis terbabit,” katanya.

Ariffin menasihati pengguna membuat perbandingan harga dan memilih platform secara dalam talian serta menyemak spesifikasi barang yang diingini sebelum membeli.

Tambahnya, sebarang aduan boleh disalurkan kepada KPDNHEP melalui portal KPDNHEP www.kpdnhep.gov.my, talian 1800 886 800, emel [email protected] dan aplikasi telefon pintar Ez ADU.

Selain itu, aduan juga boleh disalurkan di talian Enforcement Command Centre (ECC) 03-8882 6245 / 6088, talian Malaysia Government Call Centre (MYGCC) 03-8000 8000, Whatsapp di 019- 279 4317 dan lapor atau hadir ke mana-mana pejabat KPDNHEP di seluruh negara.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!