Covid-19: 2,764 kes hari ini, 13 kematian

Dr Noor Hisham - Foto Bernama
Dr Noor Hisham - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Jumlah kes baharu Covid-19 di negara ini dalam tempoh 24 jam lepas menunjukkan penurunan apabila sebanyak 2,764 kes dilaporkan pada Selasa, berbanding 3,100 kes semalam (Isnin).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, enam adalah kes import melibatkan tiga warganegara dan tiga warga asing manakala sebanyak 2,758 kes adalah penularan tempatan.

Susulan kes baharu tersebut, katanya, jumlah kes positif di negara ini adalah kini sebanyak 248,316 kes.

Bagaimanapun, sebanyak 13 kes kematian turut dilaporkan dalam tempoh sama, menjadikan jumlah kes kematian Covid-19 di negara ini direkodkan sebanyak 909 kes.

Menurutnya, kes aktif dengan kebolehjangkitan kini sebanyak 50,841 kes.

“Terdapat 3,887 kes sembuh hari dan jumlah kumulatif kes sembuh daripada Covid-19 di Malaysia adalah 196,566 kes,” katanya pada sidang akhbar perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan, di sini, pada Selasa.

Beliau berkata, sebanyak 289 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 127 kes memerlukan bantuan pernafasan,

Dr Noor Hisham berkata, Selangor kekal mencatatkan kes harian tertinggi iaitu 862 kes diikuti Johor (521), Kuala Lumpur (422); Melaka (203); Pulau Pinang (119) dan Sarawak dengan 111 kes.

Artikel Berkaitan:

Negeri Sembilan pula mencatat 99 kes diikuti Kelantan (62), Kedah (59), Perak (40), Terengganu (34), Pahang (32) manakala Labuan serta Putrajaya masing-masing merekodkan 10 kes.

Tiada kes dilaporkan di Perlis.

Bagi 13 kes kematian pada Selasa, katanya, ia melibatkan warganegara dalam usia lingkungan 49 hingga 80 tahun iaitu enam kes di Selangor; masing-masing dua kes di Sabah, Sarawak, dan Johor serta satu kes di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, 51 kes yang dilaporkan adalah berkaitan kluster dalam lokap, depot tahanan imigresen dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok Sungai Udang (27 kes); Kluster Tembok Renggam (9 kes); Kluster Tembok Pengkalan Chepa (8 kes); Kluster Penjara Jalan Harapan (4 kes) dan tiga kes bagi Kluster Tembok Bukit Besi.

Beliau turut memaklumkan 12 kluster baharu dikenal pasti hari ini dengan 11 daripadanya berkaitan kluster tempat kerja manakala satu kluster melibatkan kumpulan berisiko tinggi dikenali Kluster Dialisis Masjid Tanah di Melaka.

Kluster tempat kerja pula melibatkan Selangor iaitu Tapak Bina Persiaran Puteri, Industri Mahkota dan Kejuruteraan Subang Baru; Kuala Lumpur (Jalan Budiman dan Tapak Bina Jalan Pantai); Johor (Besi Cyber, Senai City Lapan, Jalan Parit Mesjid dan Jalan Cyber 14); Sabah (Hulu Jerocco) dan Negeri Sembilan (Lengkok Emas).

Beliau berkata, jumlah kluster aktif adalah 459 manakala jumlah kluster yang telah tamat adalah 461 termasuk yang tamat hari ini iaitu Kluster Dewani, Kluster Iris, Kluster Tapak Bina Jalan Stesen dan Kluster Kampung Baharu. - Bernama