Pasangan suami isteri disyaki bunuh, dera anak didakwa esok

Mohd Sukri Kaman
Mohd Sukri Kaman
A
A
A

MELAKA - Pasangan suami isteri yang direman berhubung kematian seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun yang ditemui lemas di dalam tong air dan dipercayai didera di Krubong, hujung bulan lalu akan didakwa di Mahkamah Ayer Keroh, esok.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, kedua-dua suspek itu dijangka dihadapkan ke mahkamah atas dua pertuduhan membunuh dan mendera kanak-kanak.

“Kertas siasatan telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan kedua-dua suspek ini akan dituduh di Mahkamah Ayer Keroh jam 9 pagi Rabu.

“Mereka ini akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendera anak,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Pada 29 Januari lalu, seorang kanak-anak lelaki ditemui meninggal dunia selepas dipercayai didera, sebelum dilemaskan di dalam tong air setinggi 60.9 sentimeter.

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak maut lemas dalam tong disyaki didera

Pemeriksaan fizikal serta hasil bedah siasat mendapati, terdapat pelbagai kecederaan termasuk luka baharu berjaya dikesan di bahagian belakang kepala kanak-kanak itu.

Jenazah yang dituntut oleh waris keluarga ibu kandung di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka kemudian selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Jasin pada 1 Februari lalu.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, pasangan suami isteri iaitu ibu kandung berusia 32 tahun serta bapa tirinya itu ditahan dan direman sejak 30 Januari lalu sehingga Khamis ini.