Ingat kematian elak maksiat berlaku dalam rumah

Isfadiah
Isfadiah
A
A
A

SHAH ALAM - Sentiasa mengingati kematian perlu dipupuk dalam setiap keluarga kerana boleh mencegah berlakunya maksiat dalam rumah termasuk kes haruan makan anak.

Pengarah Akademi Keluarga Fitrah & Ikon Dakwah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Isfadiah Mohd Dusuki berkata, sifat mengingati kematian seperti yang ditunjukkan wali ALLAH SWT, Rabiatul Adawiyyah dan pemimpin zaman kerajaan Uthmaniyyah perlu diteladani.

Beliau turut memberi contoh supaya membeli kain kapan selengkapnya dan jika boleh ditayangkan kepada ahli keluarga.

"Ia untuk mengingatkan kita bahawa bila-bila masa kita boleh mati. Ini yang dilakukan Rabiatul Adawiah dan pemimpin pada zaman kerajaan Uthmaniyyah," katanya selaku panelis pada Wacana Al-Quran Siri 81 bertajuk 'Maksiat Dalam Rumah' yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Isnin.

Wacana itu turut menampilkan panelis yang juga penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim dan dikendalikan Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail sebagai moderator serta Johan Tilawah Asia di Brunei 2015 dan Thailand 2016, Husaini Mahmur selaku qari yang memperdengarkan bacaan surah an-Nur ayat 58 dan surah Yusuf ayat 53.

Kamal Affandi (dua dari kiri) bergandingan bersama Isfadiah sebagai panelis pada Wacana Al-Quran Siri 81 bertajuk 'Maksiat Dalam Rumah' yang turut menampilkan Fazrul (kiri) sebagai moderator dan qari, Husaini.
Kamal Affandi (dua dari kiri) bergandingan bersama Isfadiah sebagai panelis pada Wacana Al-Quran Siri 81 bertajuk 'Maksiat Dalam Rumah' yang turut menampilkan Fazrul (kiri) sebagai moderator dan qari, Husaini.

Isfadiah berkata, pemimpin ketika itu menjunjung kain kapan di kepala menjadi serban sehingga hampir menutup hidung mereka.

"Panjang dan lebar kain kapan lima lapis yang dipakai. Sebab mereka tahu itu yang akan dibawa mati.

Artikel Berkaitan:

"Sudah tentu perbuatan itu mempunyai fungsi tertentu dalam kehidupan dan membina nafsu yang baik," katanya.

Mengulas lanjut, bagi mengelakkan berlaku perkara tidak diingini dalam sesebuah rumah dan keluarga juga, isi rumah perlu tahu membezakan perkara baik dan buruk.

"Penanda arasnya ialah kita kena tahu perkara baik dan dan jahat termasuk membabitkan soal nafsu. Kita kena tahu kriteria nafsu yang mendapat rahmat ALLAH dan sebaliknya.

"Sebenarnya ALLAH nak lihat sejauh mana kita mengendalikan nafsu. Kita khalifah ALLAH jadi kita harus mentadbir. Nafsu itu dikurniakan ALLAH dan tidak boleh dibuang.

"Apa jadi dengan hidup kita kalau tiada nafsu nak makan, nafsu untuk hidup, nafsu belajar dan nafsu untuk solat? Jadi nafsu perlu diurus dan perlu ada pentarbiahan. Kita harus berjuang menundukkan nafsu tersebut kerana ia juga tunggangan syaitan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Isfadiah berkata, surah an-Nur ayat 58 memberi bimbingan kepada manusia mengenai peraturan yang mesti ada dalam sesebuah rumah bagi membina keluarga harmoni.

Menurutnya, empat perkara disebut dalam ayat itu iaitu bagaimana mengurus insan yang telah akil baligh di rumah, soal aurat, soal waktu dan aktiviti yang dilakukan.

"Kalau kita gabungkan empat perkara ini sebenarnya ia membentuk satu perkara yang dipanggil peraturan. Jadi wajib ada dalam rumah kita peraturan.

"Justeru, kita kena fikir balik peraturan apa yang telah kita buat dalam rumah selama ini sebab nak jadi manusia yang hebat, kena ada peraturan. Kedua, kita kena sentiasa minta izin," katanya.