X

Kindly register in order to view this article
!

Calon SPM didakwa rompak barista

Gambar hiasan.
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang di sini pada Selasa atas pertuduhan melakukan rompak berkumpulan terhadap seorang barista (pembuat kopi) di sebuah perhentian bas bulan lepas.

Pelajar lelaki berusia 17 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.

Dia yang dijangka menduduki peperiksaan SPM pada 22 Februari ini didakwa bersama seorang yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan terhadap Muhammad Haris Mohamad Fauzi, 19, dengan mengambil telefon pintar dan beg galas yang mengandungi barangan peribadi mangsa di Hentian Bas Ekspress, Greenwood, dekat sini pada jam 6.36 pagi, 20 Januari lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Intan Syakieraah Zakaria menawarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin terhadap remaja yang tidak diwakili peguam itu.

Remaja yang kelihatan sedih itu merayu jaminan rendah atas alasan dia masih bersekolah dan tinggal bersama ibu serta bapanya yang kini tidak bekerja. Bapanya hadir ke mahkamah.

Mahkamah membenarkan remaja itu diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Mac depan untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!