Hafizh sedia kembali gegar litar

Hafizh bakal membuat penampilan sulung bersama NTS RW Racing GP musim ini.
Hafizh bakal membuat penampilan sulung bersama NTS RW Racing GP musim ini.
A
A
A

PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah harap dapat kembali berlatih dalam masa terdekat selepas menjalani pembedahan mengeluarkan plat besi pada tangan kanannya baru-baru ini.

Hafizh yang beraksi bersama pasukan baharunya - NTS RW Racing GP musim ini mengakui teruja untuk memulakan latihan secara ringan seperti disarankan oleh doktor menjelang kempen Grand Prix (GP) Qatar2021 di Litar Antarabangsa Losail pada 28 Mac depan.

“Proses pemulihan ambil masa tiga hingga empat minggu dan doktor menasihati supaya tidak melakukan kerja berat menggunakan tangan, apa-apa pun saya jangkakan boleh mula berlatih secara ringan dalam tempoh dua minggu ini.

“Sasaran saya untuk cepat pulih supaya boleh beraksi di Qatar, saya tidak berani kata saya akan kembali cergas 100 peratus tetapi 90 peratus itu saya yakin,” katanya kepada media tempatan dalam kiriman audio menerusi aplikasi WhatsApp.

Pelumba berusia 26 tahun itu berkata, keputusan untuk mengeluarkan plat besi pada tangan kanannya adalah sebagai usaha memperbaiki serta mempertingkat prestasinya di atas litar.

“Keluarkan besi (plat) ini disebabkan gangguan dan rasa tidak selesa yang memperlahankan tindak balas gerakan tangan, jadi terpaksa buang besi itu untuk atasi masalah ini dan masa depan lebih baik,” tambahnya.

Khamis lepas, media tempatan melaporkan Hafizh menjalani pembedahan membuang plat yang ‘ditanam’ di tangannya sejak enam tahun lepas di sebuah hospital swasta di sini, setelah mengalami kemalangan di GP Valencia pada 2015. - Bernama

Artikel Berkaitan: